Pages

9 Jun 2020

02 | Jalan Terus: Salahkah Aku Tidak Mengerti Hembusan Hatinya?

Kisah di suatu petang, kira-kira 18 tahun yang lalu, seputar di Unit Virologi, Jabatan Mikrobiologi, Institut Kajian Perubatan, Kuala Lumpur.


Aku bergegas turun memijak anak-anak tangga selepas mengetik kad perakam waktu di luar pintu pejabat. Bella, rakan sepejabat mendahului aku turut bergegas menuruni anak tangga yang curam seolah-olah seperti kami ada perlumbaan.

Menghampiri anak tangga paling bawah, sisi anak mata aku terkesan bayang seseorang. Di saat kelibat bayang itu semakin menghampiri aku, pandangan mata kami tiba-tiba bertaut dan terakam sesuatu di situ. Aku terbius seketika dipanah pandangan tajam itu. Aku dapat rasakan pandangan matanya memancarkan sesuatu dan mengalirkannya menjalari ke jantungku, seolah-olah mengharapkan pengertian tentang sesuatu.

Tetapi aku langsung tidak mengerti saat itu!

'Glurrp!', bebola anak mata aku semakin membesar merakam sesuatu diluar kebiasaan yang pernah aku lihat. Beberapa kali aku melihat dia sebelum ini, secara kebetulan pada banyak ketika kerana tempat kerja kami dalam satu jabatan cuma berlainan unit. Kami adalah rakan kerja yang berjiran sebelah menyebelah dan berkongsi beberapa kemudahan yang sama.

Aku terpaku seketika. Bukan kerana raut wajahnya yang tampan. Bukan itu. 

Kerana penampilannya. Luar dari kebiasaan.

"Kenapa seorang doktor yang hebat berpenampilan sebegitu?", Akal aku segera mencari justifikasi namun mata hati dan mata zahir terus terpaku pada wajahnya.

"Kenapa ada jambang?"

 'Sakitkah?"

"Sibuk sangatkah?"

"Tertinggal barangkah?"

Persoalan datang bertubi-tubi.

Kerana pada waktu ini, dengan masa tinggal berbaki beberapa minit ke jam 5.00 petang, dia muncul di tempat kerja, sedangkan hampir semua pekerja yang lain dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. 

Lelaki berjambang tidak salah, tetapi lelaki terlalu berjambang memang menghairankan. Apatah lagi bekerja makan gaji sebagai penjawat awam. Aku tidak pasti dan tidak tahu sudah berapa lama dia tidak menguruskan diri sehingga bulu-bulu liar halus tumbuh menutupi hampir separuh dari wajahnya. 

"Ahh, urusan orang lelaki masakan aku tahu". Dalam keluarga aku, ayah, abang dan adik lelaki aku rasanya tiada yang berjambang sebegitu. Seingat aku dari kecil, tidak pernah aku lihat ayah atau abang aku memegang pisau cukur dan menghias muka. Apa yang aku nampak pada wajah mereka hanyalah misai dan janggut yang sejemput cuma.

Aku deras meneruskan langkah menuju ke perhentian bas yang berdekatan. Bas tidak akan menunggu aku. Aku bukan sesiapa pun untuk ditunggu. Jika aku lewat, padahnya aku perlu menunggu dan terus menunggu. Jika aku bertuah, masa menunggu paling cepat adalah setengah jam. Pada kebanyakan masa, aku banyak membuang masa di perhentian bas.

Sepanjang menelusuri jalan pulang, fikiran aku masih terbayang insiden tadi. Aku cuba mengimbas peristiwa-peristiwa yang sudah lepas untuk menjustifikasikan keadaan.

"Patutlah... sudah lama tidak nampak dia"

"Tapi... kenapa berjambang?"

"Takkan baru seminggu sudah teruk macam tu, tapi kenapa aku kisah?", Aku bermonolog seorang diri dan terus bermonolog. 

Pertemuan kami biasanya secara kebetulan. Beberapa kali sewaktu rehat dan makan tengah hari di kafetaria tempat kerja. Pernah bertembung di koridor jabatan menuju ke tandas. Pernah terserempak dua tiga kali di pejabat Ketua Jabatan. Setakat itu sahajalah pertemuan secara tidak sengaja kami kerana siapalah aku untuk dikenang-kenangkan orang.

Aku memang sedar akan kewujudan dia, seorang lelaki bergelar doktor berkelulusan ijazah perubatan dan bekerja di tempat yang sama denganku.

Dia lelaki ajnabi, biarlah dia kekal sebagai ajnabi. Itu pilihan yang lebih baik dan paling secocok dengan diri aku.

Kerana siapalah aku berbanding dia?

Aku seorang gadis biasa, tebal dengan sifat pemalu dan juga mungkin lurus, berasal dari sebuah kampung di ceruk negeri Pantai Timur. Gadis ini mungkin memiliki kelebihan tetapi secara nyata tidak memiliki sebarang keistimewaan untuk ditonjolkan apatah lagi untuk membuatkan hati lelaki terpaut. Jauh sekali buat lelaki sehebat dia. Pilihan dia sudah tentulah yang setanding dan setara.

"Ah, tolong jangan endahkan dia!"

Aku seorang gadis dari kampung, berkelana seorang diri ke kota metropolitan Kuala Lumpur demi menyambung cita-cita. Cita-cita aku dari kecil ingin ke menara gading demi sebuah perjuangan untung nasib. Dengan harapan menara gading yang juga gedung ilmu segah Universiti Malaya itu mampu memberi corak yang lebih baik kepada masa depanku.

"Takkanlah sibuk sampai berjambang?"

"Sibuk sangatkah?"

"Atau sakitkah?"

Soalan-soalan itu aku pikul dibenak kepala lalu dibawa pulang ke rumah sewa sehinggalah mata dilelapkan dan dinihari muncul lagi.


#PART2
#kisahkehidupan
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment