Pages

16 Jun 2020

06 | Jalan Terus: Aku Mungkin Menang Tapi Gagal Memaknakan Sebuah Persahabatan


Mungkin aku telah menang.

Bukan bertarung di medan peperangan tetapi bertarung dengan maruah diri. Jika aku seorang yang tidak bermaruah, sudah pasti aku melarikan diri dari segala masalah yang timbul. Jika aku seorang yang tidak mempunyai harga diri, sudah pasti aku telah lari menyembunyikan diri.

Dari mana datangnya kekuatan itu, aku pasti ia datang dari pertolongan Sang Maha Pencipta. Aku sebagai hambaNYA sememangnya lemah, mudah kalah dan terjerat dengan bisikan hati sendiri.

"Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan permudahkanlah urusanku, dan lepaskan kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku" - Surah Taha, ayat 25-28.

Doa ini menjadi rutin doaku selepas menunaikan solat fardu lima waktu. Doa ini juga aku baca supaya aku menjadi fasih apabila berbicara di hadapan khalayak umum semenjak di universiti, Dengan izin Allah, ia dapat menghilangkan ketakutan bercakap di khalayak ramai, agar tidak gagap berkata-kata, dan juga dapat menghilangkan perasaan gementar atau darah gemuruh. Mungkin ia tidak menghilangkan ketakutan itu terus, tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan simptom dan gejala gemuruh dari dipertontonkan kepada khalayak.

..................................................................................................................................................................

"Husna, kaulah yang present nanti, aku tak boleh, nervous", getus Normona sambil digumpalnya kedua-dua belah tapak tangan lalu diuli-ulinya seolah-olah sedang menguli tepung roti canai.

"Saya pun nervous juga kak. Akak ingat saya berani ke?" balasku cepat-cepat. Minggu depan kami sebagai satu kumpulan perlu membentangkan hasil tugasan kumpulan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sejurusan yang lain. Ia akan dinilai untuk pemarkahan tugasan kerja kursus yang akan digabungkan dengan markah peperiksaan akhir.

"Please Husna, akak memang tak boleh" rayu Normona yang lebih dua tahun senior umurnya berbandingku. Kami satu jurusan yang sama tetapi berbeza umur kerana Normona menyambung pengajian di universiti menggunakan kelulusan diplomanya.

"Okeylah, saya cuba", balasku dengan suara mendatar, kedengaran tidak yakin.

"Sayang adik akak ni", balas Normona dengan suara menggoda kemanjaan sambil memekarkan senyuman lalu mencapai tanganku seperti ingin dicium. Aku cepat-cepat menjarakkan diri. Aksi Normona memang diluar jangkaan namun aku sudah dapat menjangkakan bentuk tindakannya setelah hampir satu tahun menjadi teman sebilik.

"Akak belanja nanti okey!", laung Normona sayup-sayup kedengaran. Kami berpisah haluan kerana aku perlu segera ke satu tempat, mencari wang saku tambahan untuk menampung perbelanjaan di universiti yang sememangnya tidak pernah mencukupi.

Kisah di universiti yang perit tetapi manis dan ingin diulang kembali. 

..................................................................................................................................................................

"Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya", aku akui itu jauh di sudut hati.

Bahang sensasi insiden malang kebakaran sebuah alat sterilisasi yang dicetuskan seorang graduan lepasan universiti nombor satu di Malaysia hampir menuju ke noktahnya. Cakap-cakap orang di sekeliling sudah tidak lagi kedengaran. Jadual hidup aku kembali menjadi rutin seawal aku mula menjejakkan kaki di institut penyelidikan itu tiga bulan yang lalu.

"Kau kerja di mana sebelum ini Husna?", soal puan Rashidah, staf senior yang selalu menyapa dan menemani aku menjamah sarapan pagi di bilik pantri. Aku selesa ditemani puan Rashidah berbanding rakan sepejabatnya yang lain. Puan Rashidah banyak mengisi perbualan dengan menjadi pendengar kepada cerita dan kisah hidupku. Kadang-kadang lagaknya macam wartawan dengan soalan-soalan yang boleh memerangkap rahsia diri.

"Hrmm, kerja kilang kak", jawabku pendek.

"Kilang?"

"Ya, macam-macam kerja dah saya buat sebelum ini. Lepas habis belajar, saya kerja RA di PPUM tapi tak lama. Mereka tak bayar gaji saya sampai 3 bulan kak, saya kerja free jer, macam mana saya nak survive hidup di KL ni, nak kena bayar sewa bilik, makan minum, nasib baik boleh pergi kerja jalan kaki sebab dekat dengan rumah sewa", keluhku mengenangkan keperitan hidup yang dilalui di tengah-tengah kesibukan bertali arus kota batu metropolitan.

"Saya ingat nak sambung belajar ambil master's degree, sebab tu apply jadi RA (Research Assistant) tapi selepas tiga bulan, mereka berhentikan saya sebab research grant tak lulus", ceritaku lagi tanpa berselindung. "Lepas tu, macam-macam tempat saya apply kerja dan hantar resume. Tanya kerja kosong di tempat kerja kawan-kawan yang dah kerja, tapi kawan-kawan saya kebanyakannya jadi RA sebab mereka plan nak sambung belajar"

"Kilang apa tu? Aku tak pernah rasa kerja kilang ni macam mana, best tak?", soal puan Rashidah penuh minat. Dia membuang pandangannya tepat ke anak mataku meminta pertanyaannya segera dibalas.

"ooo... kilang Cerebos"

"Cerebos...apa tu?", bulat matanya memandangku.

"Ala, kilang yang buat minuman dari stok pati ayam, sarang burung pun ada. Saya kerja di Lab bahagian Quality Control. Pernah dengar tak jenama BRAND's?"

"Pernah juga tengok iklan di TV", puan Rashidah mengangguk-anggukkan kepala cuba membayangkan sesuatu dan menyambung perbualan, " Kan dah okey kerja macam tu, kenapa berhenti? Mereka tak bayar gaji ke?", sengeh puan Rashidah cuba berseloroh. Aku menyambut selorohannya dengan senyuman.

"Gaji okey, kerja pun okey, kawan-kawan kerja pun okey, memang berat hati nak resign, tapi ... itulah. Adalah kisahnya, lain kalilah saya cerita", aku pandang bebola mata puan Rashidah yang meredup, mungkin sedikit kecewa kerana ceritaku tergantung tidak berkesudahan.

"Banyak betul kisah engkau ni...", sambut puan Rashidah terkekeh-kekeh ketawa dan bingkas bangun menuju ke arah sinki pantri.

"Kau dengan kawan baik engkau okey ke? Aku selalu nampak kau berdua makan tengah hari, nampak macam tak ada apa-apa yang berlaku", ngomel puan Rashidah sambil membilas mug di tangan dengan air paip di sinki.

Kata-kata puan Rashidah itu membuatkan bayangan kenangan lalu yang hitam dan kelam di Cerebos terpadam tiba-tiba.

"Jom, sambung kerja", balasku dengan cepat sambil menghirup sisa-sisa baki air kuning keemasan nescafe 'o' yang sudah dingin di cawan. Nasi lemak yang hanya tinggal kertas pembungkus aku lipat dan renyukkan menjadi bebola kertas dan mencampakkannya ke dalam tong sampah. Aku bingkas bangun menuju ke arah sinki.

Realitinya, pada ketika aku diserang kiri dan kanan, aku menghadapinya sendirian. Kawan-kawan yang selama ini dianggap kawan baik hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Mereka meneruskan kerja-kerja mereka dan aku terus dengan tugasan harianku seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pada satu sisi, aku menganggap mereka sebenarnya memahami kerana cuba tidak menghidupkan situasi yang mengundang rasa kejanggalan dan rasa bersalah. Namun, pada satu sisi yang lain, aku menganggap mereka sebenarnya tidak mengganggap aku sebagai kawan baik mereka dan mungkin hanyalah sekadar rakan sekerja.

Ya, kami hanyalah rakan sekerja, tidak lebih dari itu.

Mungkin juga kerana itu, aku kalah kepada makna sebuah persahabatan.


#PART6
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

2 comments:

  1. Selalu jadi macam ni zaman-zaman student.

    Ada join ya program Sekolah Penulisan Ramadhan ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, saya ada join Sekolah Penulisan Ramadan untuk gilap dan cetuskan kembali minat menulis dan ia memang berbaloi.

      Delete