Pages

11 Jun 2020

04 | Jalan Terus: Mengakui Kesilapan Diri Dan Tolong Jangan Lari Darinya


Pada suatu petang.

Beberapa minggu sebelumnya.

Aku membesarkan langkah tapak kaki.

Sekiranya boleh aku ingin berlari kerana jarum pendek pada jam tangan hampir menyentuh angka 5. Aku perlu segera dan pantas ke perhentian bas kerana bas tidak pernah menunggu aku walau hanya satu saat.

Sebuah kereta, berwarna hijau gelap tiba-tiba muncul dari arah hadapan. Aku memperlahankan langkah ingin memberi laluan.

Aku tunduk dan meneruskan hayunan kaki menelusuri susur bahu jalan. Tiba di selekoh menuju ke pintu pagar utama, kereta berwarna hijau tadi tiba-tiba berhenti, kira-kira 2 meter sahaja jaraknya dari bahu kiri aku.

Aku kaget lalu mematikan langkah.

Pemandu itu menurunkan cermin sisi keretanya.

"Huh! kenapa berhenti?". Aku mengeluh dalam hati.

Aku memandang kosong ke arah pemandu kereta itu. Dia tersenyum-senyum. Entah kenapa aku merasakan seolah seperti diejek dan ditertawakan. Telinga aku terdengar dia membisikkan sesuatu.

"Kesian dengan engkau, semua orang kat sini dah kenal kau, kau dah famous"

"Kenapalah engkau bodoh sangat?"

"Kau tak pernah buat ke atau kau tak pernah belajar sebelum ini?"

Hembusan bisikan itu menerobos ke rongga telinga seperti tiupan angin menderu-deru. Sakit, pedih dan tajam menusuk. Aku cuba mengumpulkan sisa-sisa semangat yang masih ada dalam diri dan menenangkan diri agar jiwa tidak berkecamuk.

Aku memeneruskan langkah tanpa menghiraukan pemandu itu.

Memang benar insiden malang yang berlaku beberapa minggu yang lalu berpunca daripada kejahilan, kebodohan dan kecuaian aku. Aku tidak pernah menafikan itu, malah aku telah mengakuinya tanpa segan silu di hadapan Dr. Nuraida, Ketua Unit Virologi merangkap 'bos' di situ. Aku bersedia menerima apa sahaja bentuk hukuman. Aku pasrah dan redha.

Seawal pagi hari yang bersejarah itu beberapa minggu yang lalu, setibanya aku di hadapan bilik staf makmal, aku terpandang satu kertas putih yang ditampal di daun pintu.

          URGENT!
          Cik Husna, sila jumpa saya di pejabat.

          Dr. Zurina Zulkifli
          7.11 a.m

Tanpa berlengah, aku terus meluru ke pejabat.

"Apa yang awak dah buat ini Husna?", tanya Dr. Zurina sebaik aku menghulurkan muka di pintu masuk biliknya selepas dia menjawab salamku.

"Buat apa Dr.?"

"Jom, ikut saya!", Keras bunyi suaranya dan aku patuh tanpa soal bicara. Dr. Zurina bingkas bangun dan meluru keluar. Firasat aku kosong dan kabur seperti kehilangan lima panca indera.

Kami tiba di bilik Radas 2 dan terus meluru masuk kerana bilik itu tidak berpintu.

Dr. Zurina menghala ke arah sebuah autoclave yang agak uzur dan nampak usang tapi masih digunakan. Dia membuka pintu mesin tersebut dan menundingkan jari telunjuknya.

"Ini awak punya kan?"

"Allahuakbar, lupa nak off!", denyutan jantungku tiba-tiba laju. Tanpa sedar aku menggaru-garu dahi yang tidak pernah gatal pun. Secepat kilat semua rakaman tentang peristiwa semalam kembali semula dalam bayangan akal fikiran.

"Astagrhfirullahalazim...langsung tak ingat, petang semalam saya terus balik", Mulutku terkumat-kamit tidak putus-putus meluahkan zikir kemaafan kepada tuhan. Dengan jelas dapat aku lihat kesan pemanasan akibat haba melampau melebihi had masa yang ditetapkan. Hampir keseluruhan bahan-bahan plastik yang diletakkan ke dalam mesin itu petang semalam hangus terbakar dan berubah bentuk. Bahan yang terbakar pula sudah tentulah mengeluarkan asap. Asap yang dihasilkan secara berlebihan pula dapat dikesan oleh alat pengesan asap atau smoke detector yang terdapat dalam bilik itu.

"Patutlah...",

Menurut Dr. Zurina, malam semalam yang biasanya sunyi sepi di institut penyelidikan bertukar suasananya seperti siang hari di sebuah sekolah rendah apabila loceng rehat dibunyikan. Alat penggera keselamatan berderingan memecah keheningan malam memberi isyarat adanya kebakaran. Mujurlah tindakan pantas barisan pengawal keselamatan memanggil pasukan bomba dapat menyelamatkan keadaan.

"Awak perlu jumpa Dr. Nuraida bila dia sampai pejabat nanti dan bersihkan semua ini", arah Dr. Zurina sebelum dia bergegas keluar dari bilik itu.

Aku mengeluarkan semua botol kaca dengan penutup plastik yang hampir keseluruhannya terbakar dan meletakkannya di tempat pelupusan untuk kitar semula. Dapat aku perhatikan terdapat tulisan yang agak kabur tertera namaku di atas penutup botol-botol tersebut dan ada juga tulisan yang samar-samar ditulis nama 'CT'.

Aku tersenyum kelat dan terteguk air liur ke rongga esofagus, terasa masin dan pahit hari ini. Hari yang malang dan penuh dengan kejutan seawal pagi hari.

Aku memang sedar sejak insiden kebakaran yang malang itu, batang tubuhku menjadi tumpuan ramai pekerja di situ. Kemana sahaja aku pergi sama ada di kafetaria, surau, perpustakaan malah tandas sekalipun, pasti ada yang memalingkan wajah mereka atau menjeling anak mata mereka ke arahku.

Ada yang berbisik-bisik sesama mereka sambil menjeling-jeling ke arahku, ada juga yang menghadiahkan senyuman penuh sindiran, ada yang hanya tersenyum penuh makna tersirat, ada yang pada awalnya rancak bersembang sesama teman tetapi tiba-tiba berubah menjadi patung bisu bila sedar akan kehadiranku di situ. Reaksi-reaksi yang dipertontonkan walau pun mengguris hati namun tidak meninggalkan bekas parut di jiwaku.

Kerana apa yang berlaku, tidak pernah aku mahu ia berlaku. Tiada sesiapa pun mahu malang menjadi tetamu. Setelah ia berlaku, aku tahu bahawa aku perlu ambil tahu banyak perkara tentang selok-belok pekerjaanku. Aku tahu, aku perlu banyak bertanya dan berguru.

Ramai yang meneka dan meramal bahawa hayat aku di situ tidak akan bertahan lama. Pertama, sama ada aku sendiri yang akan melarikan diri atau yang kedua khidmat aku tidak diperlukan lagi.

"Ketua Pengarah akan jumpa awak, so better you ready for it", Dr. Nuraida menekan suaranya dan memandang tajam ke anak mataku. Aku hanya mampu membalas pandangannya itu dengan senyuman yang padanya langsung tiada nilai.

Namun, selepas bulan demi bulan, aku masih di situ.

#PART4
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment