Pages

14 Jun 2020

05 | Jalan Terus: Menjadi Orang Lebih Bijak Dengan Belajar Dari Kesilapan Orang Lain



Dari minggu ke minggu aku menunggu.

"Ketua Pengarah akan jumpa awak, so better you ready for it"

Kata-kata keras Dr. Nuraida itu menghantui aku saban hari. Aku menjadi si penunggu yang setia. Hanya tuhan tempat aku mengadu segala keluh kesah yang membadai di jiwa yang resah gelisah, kerana aku tahu, aku sebagai hambaNYA tidak mempunyai hak untuk menolak apatah lagi mempersoalkan setiap aturan dariNYA.

"Saya ingatkan awak dah serik nak datang kerja sejak kes kebakaran hari tu", puan Siew memulakan bicara sambil menghirup nescafe 'o' panas yang masih berasap di dalam cawan. 

Pagi itu, hanya kami berdua menjamah minum pagi di bilik pantry, bilik kecil bersebelahan dengan pejabat kerana pagi masih terlalu awal. Bilik pantry itu nampak kecil tetapi boleh memuatkan kira-kira lima belas orang pada satu-satu masa. Pernah diadakan majlis harijadi staf di situ.

Aku tersenyum simpul sambil mengimbas kembali reaksi puan Siew sebaik terpandangkan wajahku di bilik Makmal 1 sehari selepas kejadian kebakaran berlaku. Matanya bulat memandang ke arahku seperti nampak si pencuri.

Belum sempat aku membuka mulut, puan Siew terus memotong, 

"Ingatkan dah tak datang kerja hari ini"

"Berani betul you... kalau i dah cabut dah", luahnya bertalu-talu tanpa segan silu.

"Memang salah saya puan, my ignorance, jadi tak patut saya lari", balasku dengan niat supaya dia berhenti memberikan kritikan atau pun komentar yang lebih panjang. 

Tiba-tiba bunyi pintu dibuka. Aku menoleh dan senyum.

"Good morning semua", sapa puan Rashidah, salah seorang staf senior di situ. Dia meluru ke arah rak pinggan mangkuk dan mencapai sebuah mug.

"Husna, i tahu, kejadian hari tu bukan you seorang yang buat, kesian i dengan you, you seorang yang tanggung kesalahan tu, tak patut kawan baik you buat you macam tu", bisik puan Siew sambil matanya menjeling ke arah kiri dan kanan silih berganti.

"Dia ada cakap apa-apa tak dengan you? Kami ada tanya dia tapi dia kata you yang buat, dia tak tahu", redup mata puan Siew memandangku menampakkan keikhlasannya untuk memahami aku melebihi seorang teman sekerja yang aku anggap kawan baik.

"Takpelah puan, saya yang on autoclave tu, dia hanya tumpangkan barang-barang dia sahaja", 

"Sabarlah Husna ya, Allah Maha Tahu. Kami di sini memang dah 'masak' dengan perangai kawan baik awak tu", sampuk puan Rashidah sambil mengusap-usap lembut sisi bahu kananku.

"Terima kasih kak Shidah, puan Siew. Saya gerak dulu ok, dah lewat ni", aku bingkas bangun dari kerusi untuk kembali menyambung tugas sebagai pekerja.

Dalam perjalanan ke bilik Staf 2, sayup-sayup aku terdengar namaku dipanggil seseorang. Aku berpusing dan memalingkan badan lantas menjawab panggilan tersebut.

"Ya, puan Saras". Puan Saraswathy merupakan penyelia aku. Walaupun dia adalah penyelia, akan tetapi segala perkembangan tugasan, aku perlu laporkan terus kepada Dr. Nuraida dan bukannya kepada puan Saraswathy.

"You no need to see Ketua Pengarah because the report already submitted to him. Last two week, he came here to see the autoclave by himself. You should be happy to hear this. He told us that the incident was not your fault. That was a technical problem.", jelas puan Saras dengan senyum lebar. Terserlah barisan gigi-giginya yang putih tersusun rapi.

"One more thing, there will be a new autoclave for us, fully automated. Yang you bakar tu sepatutnya sudah tak boleh digunakan lagi, too old", sengeh puan Saras mengusikku.

"Thanks puan, lega saya", 

"Ok, sambung kerja", balas puan Saras dengan raut wajah yang manis menyerlahkan aura keibuannya. Dia berpaling dan beredar meninggalkan aku tersenyum-senyum seorang diri.

"Patutlah...berminggu-minggu aku tunggu bila nak kena pergi jumpa dia. Rupa-rupanya masalah sudah selesai, huh...", getusku dalam hati.

"Okey, sambung kerja", dan aku menyambung langkah ke Makmal 2 dengan hati yang berbunga-bunga kegirangan.

Aku memang ada terdengar perbualan rakan-rakan pekerja di situ tentang kes kebakaran yang berlaku. Kata mereka, sudah ada beberapa kes yang berlaku sebelum ini disebabkan usia mesin tersebut yang terlalu lama dan sudah tidak dapat berfungsi secara automatik lagi. Yang berbezanya, kes yang terbaharu merupakan kes yang paling besar pernah berlaku, berlaku pada waktu malam hari dan melibatkan sepasukan anggota bomba.

Siapa sangka dan jangka, kedatangan aku ke situ memberikan impak sebegitu rupa. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Sama ada ia positif atau negatif, ia terpulang kepada sikap seseorang itu dalam membuat penilaian. 

Belajar dari kesilapan, sama ada kesilapan diri sendiri atau bagi orang yang lebih bijak, belajar dari kesilapan orang lain.


#PART5
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment