Pages

22 Aug 2020

07 | Jalan Terus: Cinta Tidak Semestinya Memiliki

C.I.N.T.A


Satu perkataan, dua suku kata yang hanya terbina daripada tiga huruf konsonan dan dua huruf vokal tetapi mampu memberikan bermacam-macam rasa dan makna. Ia mampu menjadikan manusia yang berakal kehilangan waras. Ia juga mampu membutakan pandangan mata hati dan juga menggelapkan suluhan akal.

Perasaan cinta itu memang wujud, ia boleh datang tanpa dipinta tanpa dijangka. Cinta seorang remaja ditemui di alam persekolahan ketika usia masih mentah dengan jiwa muda yang bergelora. Kata orang cinta di zaman persekolahan adalah 'cinta monyet'. Dari mana datangnya istilah 'cinta monyet', aku memang tidak pernah mahu ambil tahu. Namun jangan diperlekeh 'cinta monyet' kerana 'cinta monyet' itu telah ada yang diangkat dan dijulang hingga ke jinjang pelamin sehingga beranak dan bercucu. 

Aku pula seorang gadis pemalu yang tidak pernah merasa manisnya bercinta seperti rakan-rakan seusiaku yang lain. Bukan tiada teruna yang menghampiri, sememangnya ada, tetapi aku terpaksa menepis sekeras-kerasnya. Jiwa remajaku telah diasuh, dididik keluarga agar tidak terperangkap dan terjerat dengan tipu daya perasaan sendiri. Bukan semata-mata kerana halangan keluarga kerana aku sendiri teguh dengan pendirian seharusnya di usia sebegitu, belajar dan pelajaran adalah perkara paling penting. 

Ramai juga teman-temanku menemui cintanya di menara gading. Sang mahasiswa tekun mentelaah sambil memburu cita-cita juga memburu cinta. Kata mereka, usah disia-siakan perasaan indah yang datang itu. Kata mereka juga, bercinta tidak akan salah asalkan tahu menjaga batas-batas diri. Malangnya, aku juga masih tidak menemui cinta di situ. Bukan tidak ada yang menghulur tangan tetapi mungkin aku berterusan keliru dengan perasaan sendiri dan tidak memahami apakah hakikat sebenar erti cinta. Aku hampir ingin menerima cinta yang dihulurkan tetapi keraguan yang bersarang datang silih berganti membuatkan aku  terpaksa menjauhkan diri. Aku merasakan ia hanyalah seperti sebuah lakonan si lelaki yang sedang menjual ego dirinya.

Hari-hari berlalu dan entah kenapa aku tidak pernah ingin menyambut huluran salam cinta dari sesiapa. Adakah aku terlalu memilih? Adakah aku bercitarasa tinggi? Hakikatnya aku tidak pernah mengambil peduli hal-hal sebegitu kerana aku perlu hidup dengan berani dan membina kehidupan dengan kudrat sendiri. Aku perlu berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan sesiapa pun waima seorang lelaki.

Walau apapun yang aku katakan, walau apapun yang aku pegang dan percaya, setiap manusia yang dilahirkan di atas muka bumi ini pasti ada takdirnya yang tidak mampu ditolak. 

Alkisahnya takdirku bermula di sebuah kilang, tempat pertama kali aku belajar mencari rezeki dan berdiri atas kaki sendiri membina kehidupan. Di situ ramai pekerja perempuan tetapi hampir kesemuanya sudah agak berusia. Justeru, aku di situ umpama sekuntum bunga yang sedang mekar dan menyebar harum wanginya. Sudah pasti si kumbang datang mendekati ingin menikmati harum wangi bunga.

Seorang jejaka dikenali dengan nama Faizal, jejaka yang mungkin masih lagi teruna, tinggi lampai orangnya, antara juruteknik paling lama bekerja di situ.  Bermula dari seorang teman sekerja yang baru dikenali kemudian tanpa disedari ia bertukar menjadi teman bual bicara pantang ada kesempatan masa. Mungkin faktor bahasa dialek kenegerian yang sama menjadikan persamaan itu merapatkan jurang antara kami yang ada. Di kilang itu, kami dipandang, dilihat dan ditafsir seperti ada keserasian. Di sebabkan itu, aku dan Faizal sering diperli dan dijadikan bahan usikan manja oleh teman-teman sekerja yang lain.

"Elok dah kamu berdua ni, nak tunggu apa lagi?", usik beberapa orang pekerja senior di kafetaria.

Aku memandang ke arah Faizal sambil tersenyum pahit. "Elok apanya kak. Kami baru jer nak berkenalan", kataku pantas tanpa segan silu. Faizal masih membungkam dan menundukkan mukanya.

"Esok kan cuti, eloklah kau bawa Husna dating, Faizal", sambung pekerja itu lagi.

Usikan-usikan manja seperti itu berpanjangan dan menjadi bahan hiburan dan gelak tawa dalam kalangan pekerja-pekerja di situ.

Namun yang harum dan wangi tidak selamanya kekal mekar. Pada satu ketika, akhirnya sekuntum bunga itu layu terkulai dijilat api fitnah tanpa diduga. Hembusan fitnah sekelip mata menjadi api yang marak membakar sehingga hangus rentung segala apa yang perlu dipertahankan. Aku seorang diri tidak mampu memadam api yang marak membakar. 

Kilang, rakan-rakan dan Faizal si jejaka tinggi lampai itu terpaksa aku tinggalkan bersama sekeping surat perletakan jawatan. Lelaki yang aku anggap teman baik itu begitu cepat bertukar watak menjadi lelaki celaka yang dengan begitu mudah menghina, memaki, mencerca dan merendahkan serta memperlekeh maruah aku. Faizal dengan sukarela menjadi tukang penglipur lara penyampai cerita karut, dongeng dan dusta ke seluruh pelusuk kilang tempat aku hidup berdikari mencari sesuap rezeki bagi menyambung nafas.

Fitnah sememang mampu membunuh sebuah jiwa. Fitrahnya manusia bernafsukan iblis gemar mempercayai cerita karut lagi dusta daripada mulut orang yang mereka lebih percayai berbanding mencari kebenaran.

Aku terus dibiarkan terumbang ambing tanpa sebarang jawapan.


***********************************************************************************

Seperti biasa, waktu rehat aku akan ke kafetaria untuk mengisi perut. Sebaik kaki aku melangkah masuk ke muka pintu kafetaria, seluruh mata memandang ke arahku, kemudian sepantas kilat batang tubuh mereka menjadi kaku dan bisu. Dewan kafetaria menjadi sunyi sepi. Semua orang di situ seolah-olah menjadi beku secara tiba-tiba. 

Aku merasa pelik dengan apa yang sedang aku hadap itu.

"Kenapa semua orang pandang aku dan terus senyap terkedu?", getusku kehairanan tiba-tiba. Tidak pernah aku dilayan sebegitu. Kebiasaannya pasti ada suara-suara nakal mengusikku.

Apatah lagi, hari ini Kak Zaidah tidak pula mengajak aku rehat bersama-samanya. Kebiasaannya kami akan ke kafetaria bersama-sama untuk mengisi perut dan menghabiskan waktu rehat kerana kami dari jabatan yang sama.

Aku meneruskan langkah, melilaukan mata dan meneropong mencari kelibat Kak Zaidah tanpa mengendahkan reaksi luar biasa pekerja-pekerja lain sebentar tadi. Di hujung kafetaria di satu sudut di tepi tingkap, aku ternampak kelibat Faizal dan Kak Zaidah saling mengadap antara satu sama lain.

"Haa!, Kak Zai, nak rehat tak ajak saya ya!" Sapa aku sambil melabuhkan punggung di sebelah Kak Zaidah. Aku menoleh sekilas ke arah Faizal di hadapanku. Wajahnya mendung, tersenyum kelat tidak seperti selalu yang pantas mengusikku. Dia tunduk sambil jarinya menguis ais di dalam cawan.

Sebaik dua kali air coklat kekuningan berisi ais aku teguk dan telan, serentak Kak Zaidah dan Faizal bingkas dari tempat duduk memecahkan lamunan aku sebentar tadi.

"Tunggulah saya. Sikit lagi ni nak habis", pujukku cepat sebelum mereka beredar melangkahkan kaki. Kak Zaidah menjeling anak matanya sekilas ke arahku dan terus melangkah pergi.

Aku cepat-cepat menghabiskan baki air di dalam gelas dan beredar dari tempat duduk tanpa mengesyaki apa-apa yang luarbiasa. 


***********************************************************************************


Selepas solat Zuhur, kebiasaanya aku akan melilau ke bahagian pengeluaran dan pembungkusan mengisi masa yang terluang.

"Nampak macam baik tapi siapa sangka, perempuan murahan, huhhh!", sebaik melempiaskan kata-kata yang tidak mampu aku hadamkan, mereka beredar meninggalkan aku terkontang-kanting dan berteka-teki seorang diri.

"Kenapa hari ini ramai yang berperangai pelik?"

"Selalunya mereka seronok bila nampak aku datang"

Pertanyaan-pertanyaan itu terus berlanjutan tanpa jawapan. 

Beberapa hari hingga ke minggu seterusnya aku seperti dipulaukan dan disisihkan oleh pekerja-pekerja di kilang itu. Tiada siapa yang sudi menyapa aku apatah lagi mengusikku. Hanya Karim, seorang pekerja yang agak senior dan berusia masih sudi menyapa dan berbual mesra denganku seperti biasa.


***********************************************************************************


"Nampak Faizal tak?", tanyaku pada seorang pekerja di bilik persalinan uniform. Jam sudah menunjukkan angka 5.10 petang. Sudah hampir setengah jam aku menunggu Faizal.

"Tadi akak nampak dia merokok kat belakang sana tapi lepas tu tak tahulah dia pergi ke mana", jawab pekerja tersebut acuh tak acuh. Dia langsung tidak memandang ke arahku.

Tiba-tiba wajah mendung Kak Zaidah muncul di muka pintu. "Engkau nak buat apa dengan Faizal? Engkau nak menggatal dengan dia ke?", sergah Kak Zaidah membulatkan matanya ke arahku.

"Menggatal? Kenapa pulak saya nak menggatal? Kan dia yang minta saya balik dengan kereta dia. Awal-awal saya tolak tapi dia yang beria-ia ajak saya, sebab katanya kami satu jalan. Baik balik sama-sama", jelasku tanpa sebarang tapisan.

Dengan hati yang panas, aku terus keluar dari bilik itu dan bergegas menuju ke pintu masuk utama. Sebaik aku melintasi pondok pengawal, seseorang menyapa aku.

"Patutlah nampak Faizal seorang jer tadi dalam kereta. Selalunya nampak awak berdua"

Aku hanya mampu tersenyum pahit. Nampaknya hari ini aku terpaksa bersesak-sesak di dalam bas semula seperti sebulan yang lalu. Aku tidak pernah meminta Faizal menumpangkan aku pulang bersamanya.

Ia berlaku pada satu petang, ketika itu hujan turun dengan lebat. Sebuah kereta tiba-tiba menghampiri aku yang sedang berteduh di depan bilik persalinan uniform. Aku langsung tidak mengendahkan kereta itu yang betul-betul berhenti di hadapanku.

"Eh, itu kereta Faizal. Kenapa kau tak naik?", tegur seorang pekerja sambil mulutnya memuncung ke arah kereta tersebut.

Tiba-tiba pintu cermin kereta dibuka. "Hujan ni, jom balik dengan saya", laung Faizal dari dalam kereta.

"Eh, takpelah. Saya boleh balik sendiri", balasku menolak pelawaannya.

Beberapa orang pekerja yang berada di situ menasihatkan aku supaya menerima pelawaan Faizal. Kata mereka jangan memalukan Faizal, jadi disebabkan itu aku ikutkan sahaja kata mereka. Bermula dari hari itu kami balik ke rumah bersama-sama.


***********************************************************************************


Beberapa bulan bekerja di kilang itu, aku dapat rasa keseronokannya. Walaupun majoriti pekerja di situ sudah berusia dan berkeluarga berbanding aku yang baru menempuh alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian di universiti, aku merasakan aku diterima oleh mereka seperti ahli keluarga baharu.

Tapi entah kenapa dan apa sebabnya, keadaan yang ceria dan menyeronokkan itu berubah dengan tiba-tiba. Aku cuba mencari jawapannya, namun semua orang yang aku temui mengelak dan menjauhkan diri dari aku. Aku cuba bertanyakan Faizal namun tiada jawapan. Dia langsung tidak menjawab panggilan aku, jauh sekali ingin membalas pesanan ringkas (sms) yang aku hantar kepadanya.

Sehinggalah pada suatu hari aku mendapat panggilan telefon dari Institut Kajian Perubatan. Panggilan telefon yang sangat-sangat aku tunggu. Aku pernah ke sana memohon pekerjaan tetapi malangnya tiada kekosongan. Mereka ingin menawarkan pekerjaan dan pekerjaan yang ditawarkan agak menarik dan sesuai dengan bidang pengajian aku di universiti. 

Kurang menariknya adalah bidang kajian yang akan dijalankan agak baru dan aku tiada pengalaman mengenainya. Sebenarnya aku lebih berminat dan cenderung kepada kajian tumbuh-tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan memandangkan itulah kajian yang aku jalankan semasa di universiti dahulu.

Sebelum aku membuat keputusan, aku menghubungi Faizal untuk berkongsi kegembiraan dan paling utama ingin bertanyakan pendapatnya. Namun reaksinya sungguh mendukacitakan malah amat mengejutkan aku. 

Belum sempat aku menyuarakan hajat, dia terus menghamburkan kata-kata cacian, makian dan hinaan seolah-olah ia telah lama tersimpan dan kali ini tidak mampu disimpan lagi. Dia melepaskan segala apa yang mungkin dia pendam selama beberapa minggu ini. 

Aku digelar dengan segala macam gelaran seolah-olah aku adalah perempuan 'sundal'. Begitu yakin dia menggelarkan aku sebagai murahan, gatal, tiada maruah diri, curang, tidak cukup satu, dan segala macam istilah ketidaksucian yang tidak mampu aku hadam.

Aku menjadi semakin bingung, keliru dan terpinga-pinga dengan segala hinaan yang diterima. Namun itulah jawapan yang aku dapat sebelum aku bertanya. Dengan jawapan seperti itu, maka dapatlah aku membuat keputusan dengan mudah tetapi dengan hati yang berat.

"Surat perletakan jawatan". 

Aku melepaskan nafas yang berat perlahan-lahan dan tiba-tiba terasa pedih menjalar. Kepedihan yang menjalar mengundang awan mendung yang sarat hari demi hari, menakung di kolam hati, terkadang ia melimpahkan air di celahan kelopak mata, mengalir di pipi, tanpa siapa pun peduli kerana untuk hidup selepas itu, aku terpaksa menjadi manusia hipokrit.

Aku menjadi manusia hipokrit. 

Aku terlihat mengukir senyum namun jauh di sudut hati, hanya aku yang mengerti.


***********************************************************************************

Kepada seorang lelaki yang aku namakan Dr. Fattah,

Dr. Fattah yang disanjungi,

Aku tidak pasti siapa nama sebenarmu kerana aku tidak mampu untuk ambil peduli walau kadang-kadang hati berkata mahu. Dalam kebanyakan waktu, aku cuba tidak membenarkan ia berlaku. 

Maafkan aku, fitnah itu seperti telah membunuh rasa dan kepercayaan aku kepada lelaki. Mungkin aku telah menjadi pembenci lelaki. Mungkin juga aku belum bersedia membuka pintu hati kerana luka yang aku alami masih merah berdarah. Akal, hati dan naluri saling berperang sesama sendiri dan aku akhirnya kepenatan dan tewas dalam menilai diri.

Naluri aku sebagai seorang perempuan sedar bahawa kau cuba menghulurkan salam perkenalan tetapi apakan daya, aku tidak mampu menyambutnya. Maafkan aku, gerak-gerimu membuatkan aku menjadi rimas dan kemudian terkeliru. Mengapa aku? Aku bukan siapa-siapa pun. Aku adalah perempuan yang tersakiti yang telah hilang keyakinan diri. Mampukah aku membahagiakan orang lain sedangkan aku sendiri tidak bahagia?

Pada ketika dan saat aku sedang bertarung dengan diri sendiri, gelagatmu pula seolah-olah menyindir dan memperlekeh diri aku yang kekurangannya masih banyak dalam diri. Maka, timbul prejudisku pada semua lelaki. Mungkin kau juga sama, sejenis manusia lelaki yang hanya mahu dimengerti tetapi tidak tahu memahami, dan akhirnya menyakiti.

Justeru, menurut firasat akalku, demi sebuah damai di hati, aku harus pergi jauh dan menjarakkan diri. 

Kita perlu berhenti supaya takdir kita mati di sini. 

Aku pasti, ini takdir kisah kita.

Maafkan aku wahai lelaki.


***********************************************************************************

Buat Faizal yang pernah ada rasa mesra di hati,

Kau juga, berhentilah.

Berhenti mengekoriku, berhenti mengejarku. Bayang-bayangmu muncul di hadapanku, di belakangku, di sisiku, ketika waktu siangku, ketika waktu malamku. Di tempat kerjaku, di rumahkku, dan di mana sahaja aku berada.

Kau seperti hantu!

Aku tahu menggunung tinggi rasa penyesalan yang terpaksa kau pikul hari demi hari, namun segala rasa kesal yang kau pikul itu tidak mampu untuk aku hapuskan, kerana aku sendiri hampir lumpuh jiwa dan raga. Biarkan sahaja masa yang memadam semua rasa penyesalan itu kerana masa adalah penyembuh dan ubat yang paling mujarab. Masa yang berlalu pastinya akan memadam semua memori suka duka dan detik yang pernah memberikan kita rasa bahagia.

Tiada yang lebih adil lagi berkuasa selain Dia, Allah Yang Maha Esa. Kebenaran yang kau mahu telah pun ditemui. Cerita itu ternyata rekaan karut lagi dusta yang sengaja direka oleh si penghasad dengki, dan kau pula menerimanya tanpa usul periksa. Maka tolong bebaskan aku, agar dapat aku terus bernafas tanpa rasa takut dan keliru. Cukuplah segala hinaan, cacian, makian dan aku dibuang tanpa belas ihsan.

Kita semua adalah mangsa tipu daya manusia bernafsukan hasutan iblis. Sungguh malang, kau dan manusia-manusia di kilang itu begitu mudah tertipu dan menjadi manusia pendosa tanpa sedikit rasa malu.

Semoga kau, dia dan mereka di sana dapat belajar sesuatu. 

Aku pula sedang belajar menjadi pasrah kepada takdir yang telah tertulis kerana hidup yang penuh liku ini perlu diteruskan ke titik akhirnya walaupun hati ini pedih terluka yang amat dalam.

Jalan terus walau terluka.

Sememangnya aku terluka.

Selamat tinggal!


***********************************************************************************

#part7
#jalanterus
#KisahKehidupan
#kisahdarihati
#sekolahpenulisanramadhan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks