Pages

12 Jan 2024

Misi Terjah Singapura | A Day Trip To Singapore From Johor Bahru

Bertemu kembali. 

Kali ini nak cerita satu kisah yang agak kelakar dan kurang bijak.

Kadang-kadang, bila dikenangkan semula tindakan-tindakan masa lalu yang dibuat tanpa perancangan atau lebih tepat disebut sebagai terjah atau lebih sopan sikit boleh juga sebut sebagai unplanned, saya merasakan ia sebenarnya sesuatu yang ada nilai 'mahal' di situ. Tak sangka, walaupun ia tak dirancang tetapi ia menjadi satu kenangan yang agak manis dan mungkin tak akan dilupakan.


Alkisahnya pada bula Julai yang lalu, saya dengan tanpa perancangan tetiba rasa nak membuat satu lagi misi kembara solo buat kali kedua ke arah Selatan tanah air iaitu Johor Bahru. Sebelum ini pada tahun 2021, saya sudah selesai satu misi kembara solo yang juga ke Johor tetapi merentas Pahang kawasan Endau-Rompin, Mersing, Desaru, Pengerang, Johor Bahru melalui pesisir pantai tanpa melalui highway. Pada ketika itu hajat di hati nak masuk Pulau Tioman tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan. Bulan 12 memang tak sesuai nak masuk mana-mana pulau. Takut nanti tersadai berminggu-minggu tak boleh keluar ke darat.

Entah kenapa saya suka Johor, saya pun tak tahu, dan apabila ke JB, saya pasti rasa nak masuk Singapura. Nasib baik kali ini saya siap-siap standby pasport sebab saya tahu saya ni kaki terjah.

Hari terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur, saya memandu kereta ke JB Sentral. Berpusing-pusing juga nak cari tempat parking kereta. Akhirnya saya parking kereta di tempat parking berbayar sebelah kanan bangunan JB Sentral. Dari tempat parking saya berjalan kaki ke JB Sentral. Dekat sahaja jaraknya. Saya bayar parking untuk 24 jam dengan kadar yang maksimum, kalau tak silap RM15. Kalau salah, maafkan saya.

Parking berbayar 24 jam ada security

Tempat parking tiada bumbung bersebelahan JB Sentral


Masuk JB Sentral terus beli tiket di kaunter KTMB untuk Train Shuttle Tebrau, kaunternya betul-betul depan pintu masuk JB Sentral iaitu Dewan Utama. Time beli tiket kena tunjuk pasport. Saya beli tiket return dan last train untuk return JB. Tiket return RM10, sangat murah saya kira. Selepas beli tiket, saya beli bekalan makanan minuman sikit untuk alas perut dan kemudian terus ke pintu A untuk pelepasan (Departure) dan pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Sistem agak canggih juga, hanya scan sahaja pasport dah boleh masuk. Perjalanan keretapi ke Woodlands  tak sampai 10 minit. Ketika keluar dari train di Woodlands Train Checkpoint, saya dihampiri oleh pegawai KTM Singapura dan meminta saya delete video dan gambar yang saya ambil di stesen keretapi. Tak sangka, kawasan di situ tak dibenarkan rakam gambar dan video. Saya ikut jer arahan tetapi ketika itu ada sesuatu yang saya fikir bahawa mereka tidak terfikir atau mereka hanya menjalankan tugas semata-mata. Rakyat Singapura takkan tak tahu kewujudan cloud storage. Takpe, dont worry, be happy.

Ternyata nak masuk Singapura tak semudah seperti yang saya sangka. Sebelum pemeriksaan imigresen dan kastam Singapura, semua orang yang masuk Singapura wajib isi satu borang secara online untuk declare keberadaan kita di Singapura. Lebih kurang macam white card tetapi lebih complicated sikit. Pada ketika itu, line internet Maxis tidak lagi berfungsi kerana dianggap sudah berada di luar negara. Saya memang plan tak mahu beli apa-apa data kerana nak masuk sekejap sahaja. Nasib baik mereka sediakan hotspot dari wifi, maka selamatlah saya.

Dari Woodlands Train Checkpoint, saya ambil bas. Sistem pengangkutan awam Singapura memang canggih dan sistematik, cuma kita hanya perlu tahu ke mana hala tuju nak di terjah dan nombor bas mana yang kena ambil. Memandangkan saya membuat misi terjah, saya tidak membuat apa-apa pertukaran currency MYR to Dolar Singapore. Walaupun pada awalnya ada juga rasa berdebar-debar, tapi bayaran tiket bas boleh bayar guna kad kredit, maka selamatlah saya sekali lagi. 

So, saya naik bas hanya pusing-pusing area Woodlands, masuk beberapa shopping mall, makan tengah hari di restoran Ayam Penyet Ria di Wood Square. Hanya mampu window shopping sahaja kerana tak mampu dan sebenarnya sangat sayang akan duit yang ada. Time tu sekali lunch dah habis 17 USD SDG bersamaan RM58++. Currency ketika itu, 1 USD Singapore bersamaan RM3.44, mak kau hijaulah jawabnya kalau nak shopping bagai. 

Saya ingatkan saya tak perlu tukar duit tapi akhirnya misi tak perlu tukar duit terpaksa digagalkan kerana restoran Ayam Penyet Ria hanya terima bayaran cash dan beberapa kad yang tak pernah saya tengok dan mungkin hanya sah kegunaan di Singapura sahaja. Mereka malangnya tak terima kad kredit, Grabpay etc. Kelakar juga time ni. Ada juga kedai tak laku kad kredit. Maka terpaksalah saya cari money changer dan tukar duit akhirnya.


Dah rasa bosan pusing-pusing Woodlands tapi hari masih awal lagi, dah tak tahu nak ke mana. Saya tak sanggup nak tunggu last train (pukul 10 malam kalau tak silap), maka saya beli tiket lain untuk return JB kerana tiket return yang dah dibeli di JB hanya sah digunakan ikut time yang dibeli dan tidak boleh diubah. Alangkah ruginya saya kerana harga tiket train Woodlands ke JB adalah 5 USD Singapore (5 SDG) dan bukannya RM5. Nak marah tapi kena sabar. Saya hampir nak membebel dekat staf KTM Singapura tetapi masih berfikir secara waras tak nak burukkan imej rakyat Malaysia. Kelakar juga, angka tetap 5 tetapi nilainya berkali ganda.

Time masuk Woodlands Train Checkpoint untuk balik ke JB, saya tersesat dan salah masuk pintu. Rupa-rupanya saya termasuk pintu pemeriksaan imigresen dan kastam untuk balik dengan bas. Berdebar juga time ni. Entah macam mana boleh salah pintu masuk. Dalam pukul 5 petang, sangat ramai orang ketika itu. Mostly mereka orang JB yang bekerja di Singapura. Semua orang berjalan dengan sangat laju. Mungkin disebabkan itu, saya terikut-ikut mereka dan salah laluan. Maka bersesak-sesaklah saya dalam bas. Nasib baik sekejap sahaja dah sampai JB Sentral. Masa naik bas, takde orang check tiket, maka selamatlah saya sekali lagi.

Begitulah pengalaman terjah negara orang. Ianya tidaklah mudah seperti apa yang saya fikirkan. Nasib baik, semua masalah yang timbul dapat diatasi dan tidak buat saya jadi gabra. Ini merupakan kali kedua atau mungkin ketiga saya masuk Singapura dan kali pertama guna keretapi. Kali pertama masuk Singapura dengan kereta beberapa tahun lepas sebelum Covid19 bersama seorang teman.

Banyak lagi hal kurang cerdik yang berlaku tetapi tak mampu nak diceritakan di sini. Cukuplah ia menjadi pengalaman sebagai koleksi peribadi.

Apapun, saya tak serik tetapi seronok.


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

2 Jan 2024

Congratulation To All Singles!

Berdirinya saya di sini kerana tiada kerusi...

Assalamualaikum dan hai.

Dapur blog ini kembali berasap selepas sekian lama saya masuk bertapa di dalam gua. Sememangnya menulis ini perlu mempunyai roh dan semangatnya yang tersendiri. Jika semangatnya sudah hilang, maka roh pun seperti innalillah, hidup segan tapi mati tak mahu. Rupa-rupanya kali terakhir blog ini berasap pada 10 November 2022. Setahun lebih masuk gua bertapa.

Disebabkan azam beberapa tahun lepas bahawasanya saya  tidak mahu lagi digelar 'kaki merapu', 'kaki gosip', 'kaki membawang', maka apabila idea menulis yang baik-baik itu tiada, maka pergilah saya bertapa di dalam gua mencari ilham sekadar dipinggiran cuma. InsyaAllah hajat tahun ini, saya nak menulis perkara yang baik-baik sahaja dan tidak lagi merapu merepek dan meraban. Orang Kelantan cakap - sembang kosong di kedai kopi.

Oklah, rasanya belum terlewat saya nak ucap Selamat Tahun Baru 2024 walaupun hari ini dah masuk hari kedua daripada 365 hari di tahun 2024. Tahun baru bermakna umur pun dah tambah lagi satu tahun, maksudnya makin berusia. Matang tu belum tentu lagi. Kematangan biasanya boleh diukur dengan banyaknya umur tetapi kadang-kadang orang yang sudah berumur pun boleh kembali menjadi kebudak-budakan. Begitulah kompleknya perangai manusia ini.

Wishlist hajat, impian, azam tahun 2023 yang berderet tu rasanya ada yang kena carry forward ke tahun ini, tapi takpe, tak perlu sedih kot. Tahun 2024 pun tetap juga ada 365 hari.

Kepada yang masih awet muda single remaja dewasa mahupun 'tua', terimalah hadiah kata-kata semangat, perangsang dan motivasi untuk terus menjalani hidup dengan penuh bergaya dan selesa di tahun 2024 ini. 

Sila tonton video di bawah ini. Nak ulang seribu kali pun takpe, lagi bagus supaya lebih bersemangat dan berjiwa besar menghadapi cabaran hidup.

Akhir kalam,

Alhamdulillah, kita masih bernafas hari ini. 

Terima kasih Allah atas nikmat udara free kurniaanMu ini.



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks