Cerita suami orang mahupun isteri orang yang curang tak pernah surut malah semakin menjadi-jadi. Kebiasaannya tragedi kecurangan ini bermula tanpa ada niat atau plan. Peluang untuk berlaku curang sememangnya sentiasa ada. Peluang itu sentiasa wujud sejak azali lagi menanti untuk menjerat mangsa-mangsa. Kecurangan biasanya bermula secara perlahan-lahan apabila diri sendiri membuka dan menggunakan peluang yang telah sedia wujud.
Mungkin ada yang sengaja mencari peluang berlaku curang untuk menghilangkan kebosanan, mungkin untuk membuktikan sesuatu kepada seseorang, mungkin kerana sudah hilang iman dan maruah diri, mungkin kerana hanya semata-mata nak tunjuk level kejantanan atau aras kegedikan; test market bak kata orang zaman sekarang.
Walau apapun alasan dan sebab,
Sedarlah bahawa dunia ini pentas tipu daya dan medan ujian.
Dosa kecurangan terangkum bersamanya dosa zina, dosa menipu dan berbohong, dosa khianat, dosa pecah amanah, dosa berlaku zalim, yang mungkin boleh membawa bahana yang lebih dasyat iaitu membvnvh.
Buat kaum perempuan, ini sedikit nasihat yang boleh dijadikan panduan memilih pasangan hidup; jangan sampai salah pilihan. Perkahwinan itu ibadah seumur hidup, jika tersalah pilih, meranalah seumur hidup. Nasihat ini tidak terpakai kepada perempuan yang sejenis tak kisah atau mempunyai tahap kesabaran unlimited dan infiniti (tanpa batas).
Jangan Pilih Lelaki yang Hidupnya di Bawah Standardmu
1. Kalau kamu seorang perempuan yang setia, jangan pilih lelaki yang ramai kawan perempuan. Terlalu banyak kes curang, skandal, office wife, office husband zaman sekarang ini. Asalnya bermula dengan tidak menjaga batas pergaulan (ikhtilat) atas dasar hanya rakan sekerja, friendly, open-minded, sporting.
2. Kalau kamu sedang memperbaiki diri, janganlah pilih lelaki yang belum mahu berubah, atau menunda untuk berubah, kerana kamu akan terpaksa berjalan sendiri dalam memperbaiki diri, sementara dia masih seperti dulu.
3. Kalau kamu ada kerja, gaji dan pegang duit sendiri, janganlah kamu menerima lelaki yang malas bekerja, pendapatannya kurang daripada kamu atau suka berhutang/meminjam wang. Hal ini kerana dia akan menumpang duit kamu dan setiap perbelanjaan kamu terpaksa mendahulukan duit sendiri.
4. Kalau kamu seorang yang berpendidikan, janganlah memilih lelaki yang rendah tahap pendidikannya kerana ucapanmu akan direndahkan oleh pemikiran yang tidak berkembang.
5. Kalau kamu seorang yang berprinsip, misalnya meletakkan batasan dalam pergaulan iaitu tidak mudah mesra (friendly) dengan sebarang lelaki ajnabi (bukan mahram), jangan sesekali kamu ubah dirimu hanya semata-mata ingin diterima. Lebih baik hidup bersendirian daripada kamu menggadai prinsip yang kamu pegang sekian lama. Sudah semestinya, elakkan memilih lelaki yang hidupnya seperti lalang (sekejap begitu, sekejap begini) iaitu lelaki yang tiada prinsip yang jelas; sama ada dia tidak berani menegakkan prinsip hidupnya; atau prinsip hidupnya mengikut orang sekelilingnya kerana takut dianggap tidak sealiran atau takut dipinggirkan.
Pada hakikatnya, lelaki itu pemimpin dalam keluarga yang akan menjadi imam kepada pasangannya. Maka pilihlah lelaki Qawwam, insyaAllah akan hadir sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta kasih) dan warahmah (belas kasihan) dalam kehidupan berkeluarga.
Semua yang dinyatakan di atas ini dipanggil sekufu.
Justeru itu, kamu perlu naikkan standardmu agar bertemu dengan pasangan yang sekufu, setara, sepadan iaitu orang yang mempunyai nilai yang sama atau mindset yang sama seperti kamu.
Jangan turunkan standard dirimu kerana kekurangannya akan menjadi penyesalan buat kamu.
Tips ini khas untuk kalian (korang) yang hidup single dan sepanjang hari, bulan berganti bulan dan tahun demi tahun mulai rasa bosan, tak tau nak buat apa dah. Sehinggakan malam-malam tengok dinding pun boleh tembus sampai ke langit. Imaginasi yang sungguh luar kotak!
Ayuh, selamatkan mental health kalian.
Ini dia step-step nak tackle makwe/pakwe.
Mudah dan praktikal, ada 4 steps jer.
Step 1
Tengok IG/ FB story si dia kalau ada post gambar makanan (contohnya: nasi lemak), then tanya dekat mana.
Step 2
Lepas itu beberapa hari kemudian korang pergi kedai tu then send kat si dia gambar.
Step 3
Beberapa minggu kemudian korang pergi kedai lebih sedap then send kat si dia gambar.
Step 4
Beberapa hari kemudian,
Korang: “Jom pegi makan nasi lemak?”
Si Dia: "Jom, bila tu?"
P/S: Not bad style mcm ini. Tak nampak memaksa sangat cos style rilek. Tapi..., tapi klu awal-awal dah kena block tu, redha ajelah. Maybe lain orang, lain taste.
Dulu-dulu sehari selepas nikah, Tok Kadi kat sini memang akan minta pasangan pengantin baru datang sendiri untuk ambil sijil nikah. Masa mula-mula sampai, Tok Kadi panggil saya dulu, tanpa suami. Tok Kadi suruh suami tunggu di luar. Maka saya pun dengan rasa cuak, masuklah ke pejabat Tok Kadi. Dah kenapa nak saya masuk seorang diri pulak?
Soalan pertama Tok Kadi itu tanya, "Apa tugas isteri?"
Saya jawab, "Taat kepada suami, menyediakan keperluan suami,"
Tok Kadi itu tanya lagi, "Dalam rumahtangga, siapa yang kena buat kerja rumah?"
Saya dengan naifnya menjawab, "Isteri,"
Tok Kadi tu tanya lagi, "Siapa yang kena memasak?"
Saya masih jawab, "Isteri,"
Tok Kadi terus tanya, "Siapa kena basuh kain?"
Dan saya masih jawab, "Isteri,"
Tok Kadi itu tanya lagi, "Siapa kena jaga anak?"
Dan saya masih jawab, "Isteri,"
Tok Kadi itu tanya, "Kenapa isteri?"
Saya diam sekejap mencari jawapan. Selepas itu saya jawab, "Sebab dari dulu selalu tengok mak yang buat semua itu,"
Tok Kadi itu geleng kepala. Saya dah salah jawab ke?
Selepas itu Tok Kadi itu minta saya panggilkan suami saya masuk.
Tok Kadi tanya suami saya, "Kalau seorang suami menyidai kain, apa orang sekeliling akan cakap?"
Tok Kadi itu tanya lagi, "Sepatutnya siapa yang kena buat semua kerja rumah?"
Suami saya jawab, "Suami,"
Ketika ini saya gelak terus sebab ingatkan jawapan suami saya salah. 😂
Tetapi Tok Kadi itu anggukkan kepala sambil senyum. "Bagus kalau kamu tahu tugas kamu,"
Lalu Tok Kadi serahkan sijil nikah kami tanpa soalan lain. Ketika tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul?
Ketika itu barulah saya tahu, kerja rumah adalah tugas suami. Itupun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsan isteri terhadap suami. Suami boleh suruh tetapi tak boleh marah isteri jika isteri tak nak buat. Tapi selalunya isteri akan buat tanpa disuruh kerana isteri sudah diajar sejak dulu bahawa kerja rumah kerja isteri, bukan suami.
Zaman dulu-dulu, isteri duduk di rumah, suami keluar bekerja. Sudah tentulah isteri buat kerja rumah walaupun itu bukan kerjanya.
Sekarang, sama ada isteri bekerja atau tidak, cabarannya tak sama seperti zaman dulu. Nak pulak dapat suami yang tak tahu soal agama. Yang dia tahu, suami punyai kuasa mutlak terhadap isteri. Yang dia tahu, isteri kena ikut cakap suami. Yang dia tahu, isteri berdosa kalau tak ikut cakap suami.
Rupa-rupanya orang kita terlalu mengikut LUMRAH & ADAT, sampai lupa pada HAKIKAT.
Malu bila suami dilihat buat kerja rumah, takut nanti orang kata kita ini isteri yang kontrol suami, takut orang kata suami itu dayus. Kalau dengan kawan-kawan pulak, takut nanti digelar takutkan isteri. Sedangkan Rasulullah pun buat kerja rumah. Rasulullah pun jahit sendiri jubahnya yang koyak. Patutnya kita malu dengan Rasulullah. Tak gitu?
Lebih sedih bila keluarga suami pun tak tahu pasal ini. Bila anak lelakinya buat kerja rumah, menantu perempuan sudah dipandang macam hantu dah. Sedangkan sepatutnya dia bangga kerana anak lelakinya mengikut sikap Rasulullah.
Bila rumah selerak, orang kata isteri yang malas.
Bila anak-anak selekeh, orang kata mak tak pandai jaga anak.
Bila selalu beli makanan kat kedai, orang kata isteri tak pandai masak.
Bila semua suami buat, orang kata tak guna ada isteri.
Penat dengar apa orang kata. Cuba sedaya upaya supaya orang tak mengata. Sampai lupa apa Allah kata.
Itu yang buat kebanyakan isteri memberontak. Bukan sebab benci tapi sebab penat kerana ehsannya tak dihargai. Nak lawan, takut berdosa. Tak buat kerja nanti, takut suami marah. Suami marah, berdosa jugak. Sampai satu masa, buat sesuatu tu sebab kena buat, bukan sebab ehsan lagi. Maka, ikhlas pun hilang. Bila ikhlas hilang, tu yang sudah tak pandai cakap elok-elok kat suami, tak tau nak senyum kat suami, tak tau nak beromantika dengan suami. Semuanya dah tiada yang manis.
Jadi, bila isteri buat perangai, carilah puncanya. Isteri takkan cakap, sebab dia dah penat. Penat nak ajar imamnya sendiri. Penat nak ajar suami bagaimana nak jaga isteri. Penat nak ajar pemegang kunci pintu syurganya. Bila cakap kang dikata mengada-mengada, terlebih cakap nanti, dapat dosa percuma. Kalau isteri ajar suami, nanti tercalar pulak ego suami. Serba salah jadinya.
Wahai suami, jangan terlalu ambil kesempatan atas ehsan seorang isteri. Sama ada isteri itu halalkan (redha) ehsannya atau tidak, suami tetap akan ditanya kelak.
Ramai orang kata, perkataan janda itu membawa konotasi negatif atau stigma, maka lebih elok janda disebut single mom. Lebih sopan, menurut kata mereka.
Ya, benar. Perkataan janda itu agak sensitif dan membawa stigma dalam masyarakat (stigma: sifat atau sesuatu yang menjatuhkan maruah, kecelaan, keaiban).
Hakikatnya, isteri, janda mahupun single mom hanyalah status, bukannya karakter. Tiada siapa yang paling mulia antara mereka kecuali mukmin yang bertakwa.
Akhir zaman ini, ramai perempuan berstatus isteri tidak berusaha menjaga maruah diri seolah-olah sudah hilang rasa malu. Ramai perempuan berstatus isteri bertebaran di media sosial menayangkan diri secara public, untuk tatapan percuma lelaki ajnabi, yang sepatutnya hanya eksklusif untuk si suami.
Maka benar dan terbuktilah, isteri, janda mahupun single mom hanyalah status, bukannya cerminan penentu karakter (akhlak) peribadi seseorang.
Bagi mereka yang benar-benar faham agama, menjadi janda bukan satu dosa mahupun kehinaan, kerana isteri pertama manusia paling mulia dan agung iaitu Nabi Muhammad SAW adalah seorang janda iaitu Saiditina Khadijah binti Khuwalid RA.
Malah, Saidatina Khadijah binti Khuwailid RA (555 M – 619 M) digelar Al-Thahirah (Yang Suci) kerana akhlaknya yang mulia, dan Ummul Mukminin (Ibu Orang Beriman).
Apapun, satu hal yang pasti,
Memilih menjadi janda mahupun single mom adalah satu keberanian.
Mungkin juga ia satu kejayaan dan pencapaian dalam hidup kerana berani membuat satu keputusan besar untuk menamatkan satu hubungan yang toksik lagi merosakkan.
Doa Hawa saban waktu adalah hadirnya seorang lelaki ditakdirkan untuk menjadi imam kepadanya. Dia jugalah satu-satunya sahabat lelaki halal untuknya dunia dan akhirat.
Perempuan atau manusia Hawa itu secara fitrah kejadiannya diciptakan daripada tulang rusuk manusia Adam yang bengkok. Justeru, terkaitnya Hawa sebagai manusia yang lemah itu bertepatan dengan fitrah kejadian ciptaan tuhan. Bengkoknya seorang manusia Hawa itu perlukan pimpinan supaya dirinya tidak menjadi rapuh lantas patah terkulai.
Bengkoknya seorang Hawa juga tidak sepatutnya diperlekeh dan direndahkan tarafnya. Dia sebagai manusia Hawa sentiasa sedar diri dan bergantung harap kepada susuk kepimpinan seorang Adam.
Gandingan Adam dan Hawa seharusnya sejalan dan seiringan menuju jalan yang lurus ke destinasi abadi.
Begitulah yang sepatutnya.
Namun yang terjadi sebaliknya.
Setelah 15 tahun bergandingan, rupa-rupanya jalan mereka berbeza.
Jadi, dia pilih untuk undur diri dan hidup sendiri.