Pages

21 Jun 2020

Youtuber Sugu Pavithra Dikecam Kerana Demand Bayaran Tinggi Dan Ini Jawapannya

Hai semua.

Jika anda pengguna Twitter, anda akan dapati nama Pavithra sedang trending sekarang ini, manakala nama Sugu Pavithra viral di media maya. Ada beberapa perkara kenapa nama Pavithra menjadi trending, antaranya adalah;

1. Gambar photoshoot S. Pavithra yang merupakan isteri kepada encik M. Sugu bergaya persis model menjadi viral di media sosial. Anda boleh baca lanjut di Photoshoot S. Pavithra.

2. Youtuber Sugu Pavithra dikatakan demand kerana mengenakan bayaran RM10 ribu untuk 1 jam beraksi dalam rancangan masakan di kaca TV.

Rupa-rupanya ada sebab dan kisahnya kenapa Youtuber Sugu Pavithra yang berjaya menambat hati rakyat Malaysia ini mengenakan bayaran sebegitu rupa. Isu demand bayaran tinggi ini timbul kerana status Instagram yang juga seorang Youtuber (profile - 'public figure'?) yang ingin mencari talent untuk program masakan tetapi ditolak secara 'halus' oleh Sugu Pavithra.

Jom kita ikuti kisahnya.












Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

Bil Elektrik Melambung Tinggi Semasa PKP: Apa Yang Perlu Anda Tahu & Apa Yang Boleh Anda Buat

Hai semua.

Kecoh di media sosial berkenaan dengan kenaikan caj bil elektrik yang agak luar biasa dan melambung tinggi. Ramai netizen meluahkan rasa tidak puasa hati. Antara rungutan adalah caj bil melambung tiga kali ganda berbanding sebelum PKP, caj tetap dikenakan walau pun rumah tersebut tidak dihuni, caj yang dikenakan pada bulan Jun adalah untuk anggaran 3 bulan walaupun bayaran telah dibuat pada bulan April dan Mei.

Alhamdulillah, saya telah pun selesai menjelaskan bayaran bil elektrik rumah saya yang bertarikh 16 Jun 2020 untuk kiraan 91 hari (Mac, April, Mei) sebanyak kira-kira RM62 dan beberapa sen. Bacaan sebenar bil rumah saya adalah RM137.01 tetapi ditolak dengan pemberian Diskaun Rangsangan Ekonomi sebanyak 25% bagi pengunaaan mulai 1 April 2020 seperti yang diumumkan Perdana Menteri dan juga ditolak dengan jumlah anggaran yang terdahulu.

         RM137.01 - (RM28.94 + RM45.45) = RM62.62

Ini adalah jawapan pihak TNB tentang bil elektrik (bil anggaran) yang diterima pengguna untuk 3 bulan dari Mac sehingga Jun 2020 (18.3.2020 - 16.6.2020):

Penyelarasan bil elektrik semasa tempoh PKP

Ini pula apa yang perlu anda tahu:

1. Diskaun Rangsangan Ekonomi diberikan kerajaan bermula dari 1 April 2020 sehingga 30 September 2020. Diskaun adalah berbeza mengikut blok penggunaan elektrik, boleh rujuk gambar di bawah.

2. Bantuan Prihatin Elektrik untuk pengguna domestik TNB, boleh rujuk gambar di bawah.

3. Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang ditawarkan TNB boleh digunakan untuk membayar bil tertunggak secara ansuran tanpa dikenakan surcaj tambahan sehingga Disember 2020.

4. Sekiranya bayaran telah dibuat, lebihan bayaran untuk bil April-Jun akan dikembalikan (dikreditkan) ke dalam bil Julai 2020.

5. Tiada pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September 2020.

6. Tiada caj lewat bayar dikenakan sehingga 30 September 2020.






Maklumat Bantuan Prihatin Elektrik mengikut blok penggunaan elektrik dan juga
maklumat peratusan Diskaun Rangsangan Ekonomi

Lebihan bayaran untuk bil April-Jun akan dikembalikan (dikreditkan) ke dalam bil Julai 2020.


Saluran untuk membuat aduan dan pertanyaan.
Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan. Sumber Bernama.

Ini pula apa yang boleh anda buat:

1. Pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj bil elektrik yang diterima boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Yuran buka fail kes di TTPM adalah RM5.

2. Pengguna boleh cuba kira sendiri caj bil DI PAUTAN INI (Bill Estimation Calculator).

3. Pengguna boleh membuat aduan kepada pihak TNB Care Line.

Contoh aduan bil elektrik yang melambung tinggi dibuat kepada TNB Care Line.
Info dikongsikan oleh pengguna Twitter @Mistas Arif

Cara-cara membuat aduan kepada TNB, info dikongsikan oleh pengguna Twitter @Mistas Arif.


Sumber rujukan & bacaan lanjut:



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

16 Jun 2020

06 | Jalan Terus: Aku Mungkin Menang Tapi Gagal Memaknakan Sebuah Persahabatan


Mungkin aku telah menang.

Bukan bertarung di medan peperangan tetapi bertarung dengan maruah diri. Jika aku seorang yang tidak bermaruah, sudah pasti aku melarikan diri dari segala masalah yang timbul. Jika aku seorang yang tidak mempunyai harga diri, sudah pasti aku telah lari menyembunyikan diri.

Dari mana datangnya kekuatan itu, aku pasti ia datang dari pertolongan Sang Maha Pencipta. Aku sebagai hambaNYA sememangnya lemah, mudah kalah dan terjerat dengan bisikan hati sendiri.

"Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan permudahkanlah urusanku, dan lepaskan kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku" - Surah Taha, ayat 25-28.

Doa ini menjadi rutin doaku selepas menunaikan solat fardu lima waktu. Doa ini juga aku baca supaya aku menjadi fasih apabila berbicara di hadapan khalayak umum semenjak di universiti, Dengan izin Allah, ia dapat menghilangkan ketakutan bercakap di khalayak ramai, agar tidak gagap berkata-kata, dan juga dapat menghilangkan perasaan gementar atau darah gemuruh. Mungkin ia tidak menghilangkan ketakutan itu terus, tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan simptom dan gejala gemuruh dari dipertontonkan kepada khalayak.

..................................................................................................................................................................

"Husna, kaulah yang present nanti, aku tak boleh, nervous", getus Normona sambil digumpalnya kedua-dua belah tapak tangan lalu diuli-ulinya seolah-olah sedang menguli tepung roti canai.

"Saya pun nervous juga kak. Akak ingat saya berani ke?" balasku cepat-cepat. Minggu depan kami sebagai satu kumpulan perlu membentangkan hasil tugasan kumpulan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sejurusan yang lain. Ia akan dinilai untuk pemarkahan tugasan kerja kursus yang akan digabungkan dengan markah peperiksaan akhir.

"Please Husna, akak memang tak boleh" rayu Normona yang lebih dua tahun senior umurnya berbandingku. Kami satu jurusan yang sama tetapi berbeza umur kerana Normona menyambung pengajian di universiti menggunakan kelulusan diplomanya.

"Okeylah, saya cuba", balasku dengan suara mendatar, kedengaran tidak yakin.

"Sayang adik akak ni", balas Normona dengan suara menggoda kemanjaan sambil memekarkan senyuman lalu mencapai tanganku seperti ingin dicium. Aku cepat-cepat menjarakkan diri. Aksi Normona memang diluar jangkaan namun aku sudah dapat menjangkakan bentuk tindakannya setelah hampir satu tahun menjadi teman sebilik.

"Akak belanja nanti okey!", laung Normona sayup-sayup kedengaran. Kami berpisah haluan kerana aku perlu segera ke satu tempat, mencari wang saku tambahan untuk menampung perbelanjaan di universiti yang sememangnya tidak pernah mencukupi.

Kisah di universiti yang perit tetapi manis dan ingin diulang kembali. 

..................................................................................................................................................................

"Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya", aku akui itu jauh di sudut hati.

Bahang sensasi insiden malang kebakaran sebuah alat sterilisasi yang dicetuskan seorang graduan lepasan universiti nombor satu di Malaysia hampir menuju ke noktahnya. Cakap-cakap orang di sekeliling sudah tidak lagi kedengaran. Jadual hidup aku kembali menjadi rutin seawal aku mula menjejakkan kaki di institut penyelidikan itu tiga bulan yang lalu.

"Kau kerja di mana sebelum ini Husna?", soal puan Rashidah, staf senior yang selalu menyapa dan menemani aku menjamah sarapan pagi di bilik pantri. Aku selesa ditemani puan Rashidah berbanding rakan sepejabatnya yang lain. Puan Rashidah banyak mengisi perbualan dengan menjadi pendengar kepada cerita dan kisah hidupku. Kadang-kadang lagaknya macam wartawan dengan soalan-soalan yang boleh memerangkap rahsia diri.

"Hrmm, kerja kilang kak", jawabku pendek.

"Kilang?"

"Ya, macam-macam kerja dah saya buat sebelum ini. Lepas habis belajar, saya kerja RA di PPUM tapi tak lama. Mereka tak bayar gaji saya sampai 3 bulan kak, saya kerja free jer, macam mana saya nak survive hidup di KL ni, nak kena bayar sewa bilik, makan minum, nasib baik boleh pergi kerja jalan kaki sebab dekat dengan rumah sewa", keluhku mengenangkan keperitan hidup yang dilalui di tengah-tengah kesibukan bertali arus kota batu metropolitan.

"Saya ingat nak sambung belajar ambil master's degree, sebab tu apply jadi RA (Research Assistant) tapi selepas tiga bulan, mereka berhentikan saya sebab research grant tak lulus", ceritaku lagi tanpa berselindung. "Lepas tu, macam-macam tempat saya apply kerja dan hantar resume. Tanya kerja kosong di tempat kerja kawan-kawan yang dah kerja, tapi kawan-kawan saya kebanyakannya jadi RA sebab mereka plan nak sambung belajar"

"Kilang apa tu? Aku tak pernah rasa kerja kilang ni macam mana, best tak?", soal puan Rashidah penuh minat. Dia membuang pandangannya tepat ke anak mataku meminta pertanyaannya segera dibalas.

"ooo... kilang Cerebos"

"Cerebos...apa tu?", bulat matanya memandangku.

"Ala, kilang yang buat minuman dari stok pati ayam, sarang burung pun ada. Saya kerja di Lab bahagian Quality Control. Pernah dengar tak jenama BRAND's?"

"Pernah juga tengok iklan di TV", puan Rashidah mengangguk-anggukkan kepala cuba membayangkan sesuatu dan menyambung perbualan, " Kan dah okey kerja macam tu, kenapa berhenti? Mereka tak bayar gaji ke?", sengeh puan Rashidah cuba berseloroh. Aku menyambut selorohannya dengan senyuman.

"Gaji okey, kerja pun okey, kawan-kawan kerja pun okey, memang berat hati nak resign, tapi ... itulah. Adalah kisahnya, lain kalilah saya cerita", aku pandang bebola mata puan Rashidah yang meredup, mungkin sedikit kecewa kerana ceritaku tergantung tidak berkesudahan.

"Banyak betul kisah engkau ni...", sambut puan Rashidah terkekeh-kekeh ketawa dan bingkas bangun menuju ke arah sinki pantri.

"Kau dengan kawan baik engkau okey ke? Aku selalu nampak kau berdua makan tengah hari, nampak macam tak ada apa-apa yang berlaku", ngomel puan Rashidah sambil membilas mug di tangan dengan air paip di sinki.

Kata-kata puan Rashidah itu membuatkan bayangan kenangan lalu yang hitam dan kelam di Cerebos terpadam tiba-tiba.

"Jom, sambung kerja", balasku dengan cepat sambil menghirup sisa-sisa baki air kuning keemasan nescafe 'o' yang sudah dingin di cawan. Nasi lemak yang hanya tinggal kertas pembungkus aku lipat dan renyukkan menjadi bebola kertas dan mencampakkannya ke dalam tong sampah. Aku bingkas bangun menuju ke arah sinki.

Realitinya, pada ketika aku diserang kiri dan kanan, aku menghadapinya sendirian. Kawan-kawan yang selama ini dianggap kawan baik hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Mereka meneruskan kerja-kerja mereka dan aku terus dengan tugasan harianku seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pada satu sisi, aku menganggap mereka sebenarnya memahami kerana cuba tidak menghidupkan situasi yang mengundang rasa kejanggalan dan rasa bersalah. Namun, pada satu sisi yang lain, aku menganggap mereka sebenarnya tidak mengganggap aku sebagai kawan baik mereka dan mungkin hanyalah sekadar rakan sekerja.

Ya, kami hanyalah rakan sekerja, tidak lebih dari itu.

Mungkin juga kerana itu, aku kalah kepada makna sebuah persahabatan.


#PART6
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

14 Jun 2020

05 | Jalan Terus: Menjadi Orang Lebih Bijak Dengan Belajar Dari Kesilapan Orang Lain



Dari minggu ke minggu aku menunggu.

"Ketua Pengarah akan jumpa awak, so better you ready for it"

Kata-kata keras Dr. Nuraida itu menghantui aku saban hari. Aku menjadi si penunggu yang setia. Hanya tuhan tempat aku mengadu segala keluh kesah yang membadai di jiwa yang resah gelisah, kerana aku tahu, aku sebagai hambaNYA tidak mempunyai hak untuk menolak apatah lagi mempersoalkan setiap aturan dariNYA.

"Saya ingatkan awak dah serik nak datang kerja sejak kes kebakaran hari tu", puan Siew memulakan bicara sambil menghirup nescafe 'o' panas yang masih berasap di dalam cawan. 

Pagi itu, hanya kami berdua menjamah minum pagi di bilik pantry, bilik kecil bersebelahan dengan pejabat kerana pagi masih terlalu awal. Bilik pantry itu nampak kecil tetapi boleh memuatkan kira-kira lima belas orang pada satu-satu masa. Pernah diadakan majlis harijadi staf di situ.

Aku tersenyum simpul sambil mengimbas kembali reaksi puan Siew sebaik terpandangkan wajahku di bilik Makmal 1 sehari selepas kejadian kebakaran berlaku. Matanya bulat memandang ke arahku seperti nampak si pencuri.

Belum sempat aku membuka mulut, puan Siew terus memotong, 

"Ingatkan dah tak datang kerja hari ini"

"Berani betul you... kalau i dah cabut dah", luahnya bertalu-talu tanpa segan silu.

"Memang salah saya puan, my ignorance, jadi tak patut saya lari", balasku dengan niat supaya dia berhenti memberikan kritikan atau pun komentar yang lebih panjang. 

Tiba-tiba bunyi pintu dibuka. Aku menoleh dan senyum.

"Good morning semua", sapa puan Rashidah, salah seorang staf senior di situ. Dia meluru ke arah rak pinggan mangkuk dan mencapai sebuah mug.

"Husna, i tahu, kejadian hari tu bukan you seorang yang buat, kesian i dengan you, you seorang yang tanggung kesalahan tu, tak patut kawan baik you buat you macam tu", bisik puan Siew sambil matanya menjeling ke arah kiri dan kanan silih berganti.

"Dia ada cakap apa-apa tak dengan you? Kami ada tanya dia tapi dia kata you yang buat, dia tak tahu", redup mata puan Siew memandangku menampakkan keikhlasannya untuk memahami aku melebihi seorang teman sekerja yang aku anggap kawan baik.

"Takpelah puan, saya yang on autoclave tu, dia hanya tumpangkan barang-barang dia sahaja", 

"Sabarlah Husna ya, Allah Maha Tahu. Kami di sini memang dah 'masak' dengan perangai kawan baik awak tu", sampuk puan Rashidah sambil mengusap-usap lembut sisi bahu kananku.

"Terima kasih kak Shidah, puan Siew. Saya gerak dulu ok, dah lewat ni", aku bingkas bangun dari kerusi untuk kembali menyambung tugas sebagai pekerja.

Dalam perjalanan ke bilik Staf 2, sayup-sayup aku terdengar namaku dipanggil seseorang. Aku berpusing dan memalingkan badan lantas menjawab panggilan tersebut.

"Ya, puan Saras". Puan Saraswathy merupakan penyelia aku. Walaupun dia adalah penyelia, akan tetapi segala perkembangan tugasan, aku perlu laporkan terus kepada Dr. Nuraida dan bukannya kepada puan Saraswathy.

"You no need to see Ketua Pengarah because the report already submitted to him. Last two week, he came here to see the autoclave by himself. You should be happy to hear this. He told us that the incident was not your fault. That was a technical problem.", jelas puan Saras dengan senyum lebar. Terserlah barisan gigi-giginya yang putih tersusun rapi.

"One more thing, there will be a new autoclave for us, fully automated. Yang you bakar tu sepatutnya sudah tak boleh digunakan lagi, too old", sengeh puan Saras mengusikku.

"Thanks puan, lega saya", 

"Ok, sambung kerja", balas puan Saras dengan raut wajah yang manis menyerlahkan aura keibuannya. Dia berpaling dan beredar meninggalkan aku tersenyum-senyum seorang diri.

"Patutlah...berminggu-minggu aku tunggu bila nak kena pergi jumpa dia. Rupa-rupanya masalah sudah selesai, huh...", getusku dalam hati.

"Okey, sambung kerja", dan aku menyambung langkah ke Makmal 2 dengan hati yang berbunga-bunga kegirangan.

Aku memang ada terdengar perbualan rakan-rakan pekerja di situ tentang kes kebakaran yang berlaku. Kata mereka, sudah ada beberapa kes yang berlaku sebelum ini disebabkan usia mesin tersebut yang terlalu lama dan sudah tidak dapat berfungsi secara automatik lagi. Yang berbezanya, kes yang terbaharu merupakan kes yang paling besar pernah berlaku, berlaku pada waktu malam hari dan melibatkan sepasukan anggota bomba.

Siapa sangka dan jangka, kedatangan aku ke situ memberikan impak sebegitu rupa. Aturan Allah tiada siapa yang tahu. Sama ada ia positif atau negatif, ia terpulang kepada sikap seseorang itu dalam membuat penilaian. 

Belajar dari kesilapan, sama ada kesilapan diri sendiri atau bagi orang yang lebih bijak, belajar dari kesilapan orang lain.


#PART5
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

11 Jun 2020

04 | Jalan Terus: Mengakui Kesilapan Diri Dan Tolong Jangan Lari Darinya


Pada suatu petang.

Beberapa minggu sebelumnya.

Aku membesarkan langkah tapak kaki.

Sekiranya boleh aku ingin berlari kerana jarum pendek pada jam tangan hampir menyentuh angka 5. Aku perlu segera dan pantas ke perhentian bas kerana bas tidak pernah menunggu aku walau hanya satu saat.

Sebuah kereta, berwarna hijau gelap tiba-tiba muncul dari arah hadapan. Aku memperlahankan langkah ingin memberi laluan.

Aku tunduk dan meneruskan hayunan kaki menelusuri susur bahu jalan. Tiba di selekoh menuju ke pintu pagar utama, kereta berwarna hijau tadi tiba-tiba berhenti, kira-kira 2 meter sahaja jaraknya dari bahu kiri aku.

Aku kaget lalu mematikan langkah.

Pemandu itu menurunkan cermin sisi keretanya.

"Huh! kenapa berhenti?". Aku mengeluh dalam hati.

Aku memandang kosong ke arah pemandu kereta itu. Dia tersenyum-senyum. Entah kenapa aku merasakan seolah seperti diejek dan ditertawakan. Telinga aku terdengar dia membisikkan sesuatu.

"Kesian dengan engkau, semua orang kat sini dah kenal kau, kau dah famous"

"Kenapalah engkau bodoh sangat?"

"Kau tak pernah buat ke atau kau tak pernah belajar sebelum ini?"

Hembusan bisikan itu menerobos ke rongga telinga seperti tiupan angin menderu-deru. Sakit, pedih dan tajam menusuk. Aku cuba mengumpulkan sisa-sisa semangat yang masih ada dalam diri dan menenangkan diri agar jiwa tidak berkecamuk.

Aku memeneruskan langkah tanpa menghiraukan pemandu itu.

Memang benar insiden malang yang berlaku beberapa minggu yang lalu berpunca daripada kejahilan, kebodohan dan kecuaian aku. Aku tidak pernah menafikan itu, malah aku telah mengakuinya tanpa segan silu di hadapan Dr. Nuraida, Ketua Unit Virologi merangkap 'bos' di situ. Aku bersedia menerima apa sahaja bentuk hukuman. Aku pasrah dan redha.

Seawal pagi hari yang bersejarah itu beberapa minggu yang lalu, setibanya aku di hadapan bilik staf makmal, aku terpandang satu kertas putih yang ditampal di daun pintu.

          URGENT!
          Cik Husna, sila jumpa saya di pejabat.

          Dr. Zurina Zulkifli
          7.11 a.m

Tanpa berlengah, aku terus meluru ke pejabat.

"Apa yang awak dah buat ini Husna?", tanya Dr. Zurina sebaik aku menghulurkan muka di pintu masuk biliknya selepas dia menjawab salamku.

"Buat apa Dr.?"

"Jom, ikut saya!", Keras bunyi suaranya dan aku patuh tanpa soal bicara. Dr. Zurina bingkas bangun dan meluru keluar. Firasat aku kosong dan kabur seperti kehilangan lima panca indera.

Kami tiba di bilik Radas 2 dan terus meluru masuk kerana bilik itu tidak berpintu.

Dr. Zurina menghala ke arah sebuah autoclave yang agak uzur dan nampak usang tapi masih digunakan. Dia membuka pintu mesin tersebut dan menundingkan jari telunjuknya.

"Ini awak punya kan?"

"Allahuakbar, lupa nak off!", denyutan jantungku tiba-tiba laju. Tanpa sedar aku menggaru-garu dahi yang tidak pernah gatal pun. Secepat kilat semua rakaman tentang peristiwa semalam kembali semula dalam bayangan akal fikiran.

"Astagrhfirullahalazim...langsung tak ingat, petang semalam saya terus balik", Mulutku terkumat-kamit tidak putus-putus meluahkan zikir kemaafan kepada tuhan. Dengan jelas dapat aku lihat kesan pemanasan akibat haba melampau melebihi had masa yang ditetapkan. Hampir keseluruhan bahan-bahan plastik yang diletakkan ke dalam mesin itu petang semalam hangus terbakar dan berubah bentuk. Bahan yang terbakar pula sudah tentulah mengeluarkan asap. Asap yang dihasilkan secara berlebihan pula dapat dikesan oleh alat pengesan asap atau smoke detector yang terdapat dalam bilik itu.

"Patutlah...",

Menurut Dr. Zurina, malam semalam yang biasanya sunyi sepi di institut penyelidikan bertukar suasananya seperti siang hari di sebuah sekolah rendah apabila loceng rehat dibunyikan. Alat penggera keselamatan berderingan memecah keheningan malam memberi isyarat adanya kebakaran. Mujurlah tindakan pantas barisan pengawal keselamatan memanggil pasukan bomba dapat menyelamatkan keadaan.

"Awak perlu jumpa Dr. Nuraida bila dia sampai pejabat nanti dan bersihkan semua ini", arah Dr. Zurina sebelum dia bergegas keluar dari bilik itu.

Aku mengeluarkan semua botol kaca dengan penutup plastik yang hampir keseluruhannya terbakar dan meletakkannya di tempat pelupusan untuk kitar semula. Dapat aku perhatikan terdapat tulisan yang agak kabur tertera namaku di atas penutup botol-botol tersebut dan ada juga tulisan yang samar-samar ditulis nama 'CT'.

Aku tersenyum kelat dan terteguk air liur ke rongga esofagus, terasa masin dan pahit hari ini. Hari yang malang dan penuh dengan kejutan seawal pagi hari.

Aku memang sedar sejak insiden kebakaran yang malang itu, batang tubuhku menjadi tumpuan ramai pekerja di situ. Kemana sahaja aku pergi sama ada di kafetaria, surau, perpustakaan malah tandas sekalipun, pasti ada yang memalingkan wajah mereka atau menjeling anak mata mereka ke arahku.

Ada yang berbisik-bisik sesama mereka sambil menjeling-jeling ke arahku, ada juga yang menghadiahkan senyuman penuh sindiran, ada yang hanya tersenyum penuh makna tersirat, ada yang pada awalnya rancak bersembang sesama teman tetapi tiba-tiba berubah menjadi patung bisu bila sedar akan kehadiranku di situ. Reaksi-reaksi yang dipertontonkan walau pun mengguris hati namun tidak meninggalkan bekas parut di jiwaku.

Kerana apa yang berlaku, tidak pernah aku mahu ia berlaku. Tiada sesiapa pun mahu malang menjadi tetamu. Setelah ia berlaku, aku tahu bahawa aku perlu ambil tahu banyak perkara tentang selok-belok pekerjaanku. Aku tahu, aku perlu banyak bertanya dan berguru.

Ramai yang meneka dan meramal bahawa hayat aku di situ tidak akan bertahan lama. Pertama, sama ada aku sendiri yang akan melarikan diri atau yang kedua khidmat aku tidak diperlukan lagi.

"Ketua Pengarah akan jumpa awak, so better you ready for it", Dr. Nuraida menekan suaranya dan memandang tajam ke anak mataku. Aku hanya mampu membalas pandangannya itu dengan senyuman yang padanya langsung tiada nilai.

Namun, selepas bulan demi bulan, aku masih di situ.

#PART4
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

10 Jun 2020

03 | Jalan Terus: Salah Apabila Kau Hanya Memendam Rasa



Semalam ditinggalkan dan hari ini muncul lagi.

Di kafetaria. Waktu rehat dan waktu untuk makan tengah hari.

Aku duduk menyandar malas di kerusi menghadap teman sekerja Siti. Meja kami agak jauh ke belakang. Aku memang suka begini. Tidak sesak dengan orang yang lalu lalang dan ada sedikit privacy.

Sekali sekala kami berbual basi-basi tentang hal diri sendiri, berhenti untuk menyuakan hidangan nasi ke mulut dan kemudian menelaah bunyi-bunyian yang terhasil dari kunyahan barisan gigi sendiri. Hari ini kami berdua tidak ke warung makan di seberang jalan seperti rutin kebiasaan kami.

"Sakitnya otak baca jurnal", aku mengomel sambil jari menggaru-garu di atas pundak tudung kepala. Siti diam membisu. Aku memerhatikan dia memegang gelas, diangkat sedikit dan dialihkan ke tepi bucu pinggan lalu dihirup air yang tidak berwarna di dalam gelas kaca tersebut melalui hujung straw yang ditekan sedikit menggunakan dua anak jari. Air itu ditelan.

"Kau memang suka study ek? Degree dah habislah", balas Siti dengan bibirnya sedikit meleret. Kelihatan ada lekuk di sebelah pipi kiri. Menambahkan manis orangnya. Dialah teman yang setiap hari tanpa pernah gagal menemani aku ketika perut minta diisi.

"Iyalah, buat research mestilah study jurnal. Lagi-lagi bidang virologi ini bukan aku study detail pun masa di universiti, banyak kena belajar lagi. Lagi sakit kepala bila semua dalam bahasa Inggeris. Aku ini bukan pandai sangat bahasa Inggeris", keluhku minta difahami.

Itulah hakikatnya. Apa yang dipelajari di universiti belum cukup memahirkan diri di alam pekerjaan. Walaupun asas ilmu yang diperolehi banyak membantu dari segi teori untuk memahami konsep, namun sebagai lepasan universiti yang baru terjun ke alam dunia penyelidikan sebenar, ternyata banyak lagi ilmu yang perlu digali.

"Kau pandang siapa? Aku membebel seoranglah tadi, huh". Sambil mendengus halus, aku menolehkan muka ke belakang dan sepantas kilat mataku tertangkap kepada kelibat seseorang.

Mataku terpacak pada batang tubuh tinggi lampai itu. Mataku mengekori setiap langkahnya. Dari pintu masuk utama, batang tubuh itu berjalan lurus menghala ke arah kaunter bayaran. Raut wajahnya dan penampilannya berbeza hari ini. Tidak seperti petang semalam.

"Glurpp". Jantungku berdenyut dan mengepam darah semakin laju. Kalaulah disuakan mikrofon, aku pasti seluruh kafetaria dapat mendengar bunyi 'dup-dap-dup-dap' yang bertalu-talu diruang rusuk atas kiri dada aku.

"Eh, macam dia tahu pula aku pandang dia, huh". Aku cepat-cepat memalingkan muka dan menghadap Siti semula, sekilas menjeling ke arah Siti kemudian merendahkan pandangan. Pantas aku capai botol air mineral di sudut pinggan nasi lalu disuakan ke bibir dan menyedut air putih di dalamnya perlahan-lahan.

"Aduh! Bertembung lagi hari ini". Getusku dalam diam . Petang semalam, dialah orangnya yang bertembung denganku di anak tangga pejabat. Hampir-hampir dilanggarnya badan aku yang kecil molek ini.

"Tapi hari ini jambangnya sudah tiada. Handsomekan kalau kemas begitu. Tetapi kenapa dia senyum-senyum, berjalan seorang diri pun boleh senyum-senyum. Hrmmm...pelik betul doktor seorang ini", bisikku kepada diri sendiri.

Aku mengangkat kepala memandang raut wajah Siti. Aku lihat ada garisan halus nipis di dahi Siti. Mungkin dia tertanya-tanya mengapa kelakuan aku seperti cacing kepanasan sebentar tadi. Aku mengharapkan Siti tidak dapat meneka perkara apa yang sedang berlegar-legar dan bersarang dalam fikiran aku.

Siti tidak bertanya lanjut, jadi aku pun mendiamkan diri. Maka dapatlah aku menghembuskan nafas lega dan bersandar di kerusi dengan tenang.

Hakikatnya kelegaan yang tertonjol adalah lakonan pada pandangan mata zahir.

"Kenapa dengan dia petang semalam?"

"Nampak dia gembira hari ini"

"Hurmm, kenapa aku kisah? Asalkan dia bahagia sudah ... ". Monolog itu berpanjangan. Rasa itu dibiarkan terpendam dan tersimpan di penjuru sudut hati. Akal menganalisis, menjustifikasi tetapi kemudian menafikan akan kewujudannya.

"Jom", tiba-tiba aku terdengar suara Siti. Aku faham dan akur. Kami bingkas bangun. Aku angkat sedikit dan letakkan kerusi ke bawah meja dan berpaling mengekori Siti.

Aku singgah di surau untuk menunaikan solat yang difardukan ke atasku sementara Siti meneruskan langkahnya ke makmal dan juga pejabat kami.


#PART3
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

9 Jun 2020

02 | Jalan Terus: Salahkah Aku Tidak Mengerti Hembusan Hatinya?

Kisah di suatu petang, kira-kira 18 tahun yang lalu, seputar di Unit Virologi, Jabatan Mikrobiologi, Institut Kajian Perubatan, Kuala Lumpur.


Aku bergegas turun memijak anak-anak tangga selepas mengetik kad perakam waktu di luar pintu pejabat. Bella, rakan sepejabat mendahului aku turut bergegas menuruni anak tangga yang curam seolah-olah seperti kami ada perlumbaan.

Menghampiri anak tangga paling bawah, sisi anak mata aku terkesan bayang seseorang. Di saat kelibat bayang itu semakin menghampiri aku, pandangan mata kami tiba-tiba bertaut dan terakam sesuatu di situ. Aku terbius seketika dipanah pandangan tajam itu. Aku dapat rasakan pandangan matanya memancarkan sesuatu dan mengalirkannya menjalari ke jantungku, seolah-olah mengharapkan pengertian tentang sesuatu.

Tetapi aku langsung tidak mengerti saat itu!

'Glurrp!', bebola anak mata aku semakin membesar merakam sesuatu diluar kebiasaan yang pernah aku lihat. Beberapa kali aku melihat dia sebelum ini, secara kebetulan pada banyak ketika kerana tempat kerja kami dalam satu jabatan cuma berlainan unit. Kami adalah rakan kerja yang berjiran sebelah menyebelah dan berkongsi beberapa kemudahan yang sama.

Aku terpaku seketika. Bukan kerana raut wajahnya yang tampan. Bukan itu. 

Kerana penampilannya. Luar dari kebiasaan.

"Kenapa seorang doktor yang hebat berpenampilan sebegitu?", Akal aku segera mencari justifikasi namun mata hati dan mata zahir terus terpaku pada wajahnya.

"Kenapa ada jambang?"

 'Sakitkah?"

"Sibuk sangatkah?"

"Tertinggal barangkah?"

Persoalan datang bertubi-tubi.

Kerana pada waktu ini, dengan masa tinggal berbaki beberapa minit ke jam 5.00 petang, dia muncul di tempat kerja, sedangkan hampir semua pekerja yang lain dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. 

Lelaki berjambang tidak salah, tetapi lelaki terlalu berjambang memang menghairankan. Apatah lagi bekerja makan gaji sebagai penjawat awam. Aku tidak pasti dan tidak tahu sudah berapa lama dia tidak menguruskan diri sehingga bulu-bulu liar halus tumbuh menutupi hampir separuh dari wajahnya. 

"Ahh, urusan orang lelaki masakan aku tahu". Dalam keluarga aku, ayah, abang dan adik lelaki aku rasanya tiada yang berjambang sebegitu. Seingat aku dari kecil, tidak pernah aku lihat ayah atau abang aku memegang pisau cukur dan menghias muka. Apa yang aku nampak pada wajah mereka hanyalah misai dan janggut yang sejemput cuma.

Aku deras meneruskan langkah menuju ke perhentian bas yang berdekatan. Bas tidak akan menunggu aku. Aku bukan sesiapa pun untuk ditunggu. Jika aku lewat, padahnya aku perlu menunggu dan terus menunggu. Jika aku bertuah, masa menunggu paling cepat adalah setengah jam. Pada kebanyakan masa, aku banyak membuang masa di perhentian bas.

Sepanjang menelusuri jalan pulang, fikiran aku masih terbayang insiden tadi. Aku cuba mengimbas peristiwa-peristiwa yang sudah lepas untuk menjustifikasikan keadaan.

"Patutlah... sudah lama tidak nampak dia"

"Tapi... kenapa berjambang?"

"Takkan baru seminggu sudah teruk macam tu, tapi kenapa aku kisah?", Aku bermonolog seorang diri dan terus bermonolog. 

Pertemuan kami biasanya secara kebetulan. Beberapa kali sewaktu rehat dan makan tengah hari di kafetaria tempat kerja. Pernah bertembung di koridor jabatan menuju ke tandas. Pernah terserempak dua tiga kali di pejabat Ketua Jabatan. Setakat itu sahajalah pertemuan secara tidak sengaja kami kerana siapalah aku untuk dikenang-kenangkan orang.

Aku memang sedar akan kewujudan dia, seorang lelaki bergelar doktor berkelulusan ijazah perubatan dan bekerja di tempat yang sama denganku.

Dia lelaki ajnabi, biarlah dia kekal sebagai ajnabi. Itu pilihan yang lebih baik dan paling secocok dengan diri aku.

Kerana siapalah aku berbanding dia?

Aku seorang gadis biasa, tebal dengan sifat pemalu dan juga mungkin lurus, berasal dari sebuah kampung di ceruk negeri Pantai Timur. Gadis ini mungkin memiliki kelebihan tetapi secara nyata tidak memiliki sebarang keistimewaan untuk ditonjolkan apatah lagi untuk membuatkan hati lelaki terpaut. Jauh sekali buat lelaki sehebat dia. Pilihan dia sudah tentulah yang setanding dan setara.

"Ah, tolong jangan endahkan dia!"

Aku seorang gadis dari kampung, berkelana seorang diri ke kota metropolitan Kuala Lumpur demi menyambung cita-cita. Cita-cita aku dari kecil ingin ke menara gading demi sebuah perjuangan untung nasib. Dengan harapan menara gading yang juga gedung ilmu segah Universiti Malaya itu mampu memberi corak yang lebih baik kepada masa depanku.

"Takkanlah sibuk sampai berjambang?"

"Sibuk sangatkah?"

"Atau sakitkah?"

Soalan-soalan itu aku pikul dibenak kepala lalu dibawa pulang ke rumah sewa sehinggalah mata dilelapkan dan dinihari muncul lagi.


#PART2
#kisahkehidupan
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

7 Jun 2020

[PKPP] Rentas Negeri Dibenarkan Mulai 10 Jun 2020

Alhamdulillah dan tahniah rakyat Malaysia. Kita hampir menang.


YAB Perdana Menteri mengumumkan petang tadi bahawa PKPB akan ditamatkan pada 10 Jun ini dan digantikan dengan PKPP (PKP Pemulihan) sehingga 31 Ogos 2020 di mana hampir semua aktiviti yang dilarang sebelum ini dibuka semula dan dibenarkan.

Paling penting aktiviti rentas negeri telah dibenarkan dan bolehlah kita balik kampung menziarahi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung.

Jadi, melalui pelaksanaan PKPP mulai 10 Jun 2020:
Aktiviti yang dibenarkan:
1. Perjalanan rentas negeri - boleh balik kampung - kecuali kawasan PKPD
2. Sambutan Hari Raya Aidil Adha dengan SOP.
3. Aktiviti pelancongan domestik/ dalam negara.
4. Kedai gunting rambut, kecantikan dan facial dibuka dengan SOP ketat.
5. Pasar pagi, pasar tamu, pasar terbuka, pasar malam, medan selera, pusat penjaja, food truck, gerai makan dan bazaria.
6. Kedai dobi, kolam pancing, indoor busking, lawatan ke muzium
7. Penggambaran filem
8. Mesyuarat dan bengkel
9. Sukan dan rekreasi - bukan pertandingan / perhimpunan penyokong, tidak melibatkan sentuhan badan
10. Rakyat Malaysia balik luar negara tidak lagi dikuarantin wajib di pusat kuarantin. Sebaliknya  apabila sampai di Malaysia akan disaring, jika ada gejala akan dihantar ke hospital. Jika melepasi saringan, terus balik ke rumah menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.
11. Waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa.

Wilayah Persekutuan:
Waktu operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria bermula 15 Jun 2020:

      - Pasar pagi dan pasar terbuka (6 pagi -11 pagi)
      - Pasar malam (4 ptg -10 malam)
      - Bazaria (5 ptg- 11 malam)

Aktiviti dibuka secara berfasa / berperingkat:
1. Sesi persekolahan
2. Solat berjemaah/ Jumaat sepenuhnya di masjid

Aktiviti masih dalam larangan:
1. Perarakan keagamaan, kenduri-kendara, rumah terbuka, perhimpunan orang ramai.
2. Pusat hiburan (pub, karaoke, bar, kelab malam, pusat refleksologi) masih tidak dibenarkan beroperasi.

Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

Bukan Salah Puding Buih!

Puding buih memang tak salah!


Puding buih merupakan pencuci mulut tradisi yang memang popular di negeri Pantai Timur. Ia menjadi juadah kegemaran seisi keluarga terutamanya juadah berbuka berpuasa di bulan Ramadan. Namun siapa sangka, puding buih yang enak dimakan ini telah meragut satu nyawa di Terenggganu pada 3 Jun 2020, Rabu yang lalu. Mangsa seorang wanita berusia 25 tahun dari Marang, Terengganu menghembuskan nafas yang terakhir setelah 10 hari bertarung nyawa. Puding buih ini dijual secara atas talian (online) dan tular (viral) di Terengganu.



Kematian mangsa puding buih di Terengganu

Berdasarkan laporan sidang media pada 31 Mei 2020 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dr. Alias Razak, hasil ujian makmal mendapati penggunaan telur yang lebih dua minggu menjadi punca utama kes keracunan makanan tersebut. Hasil siasatan juga mendapati penjual puding tersebut tidak memiliki lesen perniagaan, tidak melakukan suntikan vaksin typhoid (demam kepialu) bagi pengendali/ penyedia makanan. Maka terbongkarlah sisi-sisi negatif dan salah laku yang sebelumnya tidak diketahui.

Persoalannya, kenapakah telur dikatakan menjadi penyebab utama dalam kes keracunan makanan tersebut? Adakah keracunan makanan berlaku disebabkan telur yang sudah tamat tempoh semata-mata?

Menurut pakar masakan/ kesihatan, Chef Asma Nordin, Pensyarah UNITAR dan Dr. Aida Azmi (Pensyarah kanan UiTM), punca utama bukan disebabkan penggunaan telur yang sudah tamat tempoh tetapi penyebabnya adalah telur tersebut telah tercemar. Pencemaran pada telur boleh berlaku sebelum proses memasak sehinggalah proses pengendalian makanan selepas memasak.


Resepi puding buih sememangnya menggunakan telur mentah yang diasingkan kuning dan putihnya lalu dikisar atau dipukul menjadi gebu dan berbuih. Penggunaan telur mentah memang berisiko tinggi mengundang pencemaran bakteria seperti Salmonella dan E.Coli. Untuk resepi dan cara buat puding buih, boleh  lihat di Resepi & Cara Membuat Puding Buih (How To Make Foam Pudding).

Pencemaran bakteria pada telur boleh mengundang maut
Risiko telur tercemar

Walau bagaimana pun, ada yang berpendapat, telur yang tercemar dan telur tamat tempoh bukan semata-mata penyebab kerana banyak faktor yang boleh menyumbang kepada berlakunya keracunan makanan. Teknik penyediaan juga perlu betul dan berhati-hati.

Teknik penyediaan dan pengendalian puding buih

Puding buih tak salah!

Puding buih tak salah!

Sumber rujukan & bacaan lanjut:
1. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/06/03/10-hari-dirawat-mangsa-puding-buih-akhirnya-meninggal-dunia
2. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/695853/mangsa-puding-buih-meninggal
3.  Dapur Berasap
4.  http://www.astroawani.com/berita-malaysia/puding-buih-bukan-salah-telur-245889
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/694744/telur-tamat-tempoh-punca-kes-keracunan-puding-buih
6. https://www.mingguanwanita.my/resepi-puding-buih-berkuah-susu-tinggi-protein-begini-cara-selamat-membuatnya/
7. https://www.youtube.com/watch?v=YdEP0OOmjVs&feature=youtu.be&fbclid=IwAR2dkUBlwZYLgyTWIp0RSoZi55F_2ZDe5Z53PjCXYlI39aCXBXvnefyEoI0




Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

5 Jun 2020

[01] Jalan Terus, Walau Hati Terluka

Teman-teman yang tidak dikenali,

Walau jalan yang dilalui, jalan yang penuh onak dan duri, panas dan dingin silih berganti, tetapi perjalanan yang panjang dan jauh itu perlu diteruskan.

Teman, jalan terus walau hati terluka.




Nota untuk diri sendiri: 

Tidak disangka saya kembali menghidupkan blog ini. Ini merupakan post pertama untuk tahun 2020 setelah sekian lama menyepikan diri. Post terakhir ialah pada Januari 2017. Sememangnya menulis memerlukan kekuatan jiwa dan displin diri, dan saya pula seorang yang jalannya 'caca-merba'.

Pandemik COVID-19 memberikan ramai orang pengalaman 'pertama kali' termasuk saya sendiri. Saya kembali ke sini kerana PKP memberikan saya banyak ruang dan peluang untuk lebih mengenali diri. Minat menulis telah tumbuh sejak dibangku sekolah tetapi ia terhenti di separuh jalan kerana ia hanyalah sekadar minat dan hobi.

Namun, pertama kali dalam hidup ini saya merelakan jiwa saya untuk mendaftar, membayar dan seterusnya menelaah kelas 'alam maya' Sekolah Penulisan Ramadan. Ada cerita disebaliknya namun biarlah ia kekal sulit dan peribadi.

Sekolah Penulisan Ramadan

Pada banyak waktu dan ketika saya ingin memadam dan melenyapkan blog 'picisan' ini kerana kehilangan 'jiwa dan rasa'. Kehilangan, kekosongan dalam kesibukan seharian menjadikan diri dijangkiti penyakit kemalasan hampir dalam segala hal. 

Seperti kata ahli panel Sekolah Penulisan Ramadan yang juga penulis NOTA PEREMPUAN BACKPACKER, menulis adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul, bukan hobi dan minat.

Kini saya sedar, saya perlu jalan terus.

Fikir yang baik-baik, doakan yang baik-baik.

#part1
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks