Pages

16 Nov 2024

Nota Perempuan Jomblo [4]

~Kisah Tok Kadi & Suami Mithali~

Dulu-dulu sehari selepas nikah, Tok Kadi kat sini memang akan minta pasangan pengantin baru datang sendiri untuk ambil sijil nikah. Masa mula-mula sampai, Tok Kadi panggil saya dulu, tanpa suami. Tok Kadi suruh suami tunggu di luar. Maka saya pun dengan rasa cuak, masuklah ke pejabat Tok Kadi. Dah kenapa nak saya masuk seorang diri pulak?


Soalan pertama Tok Kadi itu tanya, "Apa tugas isteri?"

Saya jawab, "Taat kepada suami, menyediakan keperluan suami,"

Tok Kadi itu tanya lagi, "Dalam rumahtangga, siapa yang kena buat kerja rumah?"

Saya dengan naifnya menjawab, "Isteri,"

Tok Kadi tu tanya lagi, "Siapa yang kena memasak?"

Saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi terus tanya, "Siapa kena basuh kain?"

Dan saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi itu tanya lagi, "Siapa kena jaga anak?"

Dan saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi itu tanya, "Kenapa isteri?"

Saya diam sekejap mencari jawapan. Selepas itu saya jawab, "Sebab dari dulu selalu tengok mak yang buat semua itu,"

Tok Kadi itu geleng kepala. Saya dah salah jawab ke?

Selepas itu Tok Kadi itu minta saya panggilkan suami saya masuk.

Tok Kadi tanya suami saya, "Kalau seorang suami menyidai kain, apa orang sekeliling akan cakap?"

Suami saya jawab, "Isterinya queen control,"

Saya tersenyum geli hati mendengar jawapan suami saya.

Tok Kadi itu tanya lagi, "Sepatutnya siapa yang kena buat semua kerja rumah?"

Suami saya jawab, "Suami,"

Ketika ini saya gelak terus sebab ingatkan jawapan suami saya salah. 😂

Tetapi Tok Kadi itu anggukkan kepala sambil senyum. "Bagus kalau kamu tahu tugas kamu,"

Lalu Tok Kadi serahkan sijil nikah kami tanpa soalan lain. Ketika tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul?

Ketika itu barulah saya tahu, kerja rumah adalah tugas suami. Itupun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsan isteri terhadap suami. Suami boleh suruh tetapi tak boleh marah isteri jika isteri tak nak buat. Tapi selalunya isteri akan buat tanpa disuruh kerana isteri sudah diajar sejak dulu bahawa kerja rumah kerja isteri, bukan suami.

Zaman dulu-dulu, isteri duduk di rumah, suami keluar bekerja. Sudah tentulah isteri buat kerja rumah walaupun itu bukan kerjanya.

Sekarang, sama ada isteri bekerja atau tidak, cabarannya tak sama seperti zaman dulu. Nak pulak dapat suami yang tak tahu soal agama. Yang dia tahu, suami punyai kuasa mutlak terhadap isteri. Yang dia tahu, isteri kena ikut cakap suami. Yang dia tahu, isteri berdosa kalau tak ikut cakap suami.

Rupa-rupanya orang kita terlalu mengikut LUMRAH & ADAT, sampai lupa pada HAKIKAT.

Malu bila suami dilihat buat kerja rumah, takut nanti orang kata kita ini isteri yang kontrol suami, takut orang kata suami itu dayus. Kalau dengan kawan-kawan pulak, takut nanti digelar takutkan isteri. Sedangkan Rasulullah pun buat kerja rumah. Rasulullah pun jahit sendiri jubahnya yang koyak. Patutnya kita malu dengan Rasulullah. Tak gitu?

Lebih sedih bila keluarga suami pun tak tahu pasal ini. Bila anak lelakinya buat kerja rumah, menantu perempuan sudah dipandang macam hantu dah. Sedangkan sepatutnya dia bangga kerana anak lelakinya mengikut sikap Rasulullah.

Bila rumah selerak, orang kata isteri yang malas.

Bila anak-anak selekeh, orang kata mak tak pandai jaga anak.

Bila selalu beli makanan kat kedai, orang kata isteri tak pandai masak.

Bila semua suami buat, orang kata tak guna ada isteri.

Penat dengar apa orang kata. Cuba sedaya upaya supaya orang tak mengata. Sampai lupa apa Allah kata.

Itu yang buat kebanyakan isteri memberontak. Bukan sebab benci tapi sebab penat kerana ehsannya tak dihargai. Nak lawan, takut berdosa. Tak buat kerja nanti, takut suami marah. Suami marah, berdosa jugak. Sampai satu masa, buat sesuatu tu sebab kena buat, bukan sebab ehsan lagi. Maka, ikhlas pun hilang. Bila ikhlas hilang, tu yang sudah tak pandai cakap elok-elok kat suami, tak tau nak senyum kat suami, tak tau nak beromantika dengan suami. Semuanya dah tiada yang manis.

Jadi, bila isteri buat perangai, carilah puncanya. Isteri takkan cakap, sebab dia dah penat. Penat nak ajar imamnya sendiri. Penat nak ajar suami bagaimana nak jaga isteri. Penat nak ajar pemegang kunci pintu syurganya. Bila cakap kang dikata mengada-mengada, terlebih cakap nanti, dapat dosa percuma. Kalau isteri ajar suami, nanti tercalar pulak ego suami. Serba salah jadinya.

Wahai suami, jangan terlalu ambil kesempatan atas ehsan seorang isteri. Sama ada isteri itu halalkan (redha) ehsannya atau tidak, suami tetap akan ditanya kelak.

Jadi, apa tugas seorang isteri?

❤️❤️❤️❤️❤️❤️


Kredit:
Nurul Hidayah (Tuan Punya Cerita)



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment