Pages

10 Jun 2020

03 | Jalan Terus: Salah Apabila Kau Hanya Memendam Rasa



Semalam ditinggalkan dan hari ini muncul lagi.

Di kafetaria. Waktu rehat dan waktu untuk makan tengah hari.

Aku duduk menyandar malas di kerusi menghadap teman sekerja Siti. Meja kami agak jauh ke belakang. Aku memang suka begini. Tidak sesak dengan orang yang lalu lalang dan ada sedikit privacy.

Sekali sekala kami berbual basi-basi tentang hal diri sendiri, berhenti untuk menyuakan hidangan nasi ke mulut dan kemudian menelaah bunyi-bunyian yang terhasil dari kunyahan barisan gigi sendiri. Hari ini kami berdua tidak ke warung makan di seberang jalan seperti rutin kebiasaan kami.

"Sakitnya otak baca jurnal", aku mengomel sambil jari menggaru-garu di atas pundak tudung kepala. Siti diam membisu. Aku memerhatikan dia memegang gelas, diangkat sedikit dan dialihkan ke tepi bucu pinggan lalu dihirup air yang tidak berwarna di dalam gelas kaca tersebut melalui hujung straw yang ditekan sedikit menggunakan dua anak jari. Air itu ditelan.

"Kau memang suka study ek? Degree dah habislah", balas Siti dengan bibirnya sedikit meleret. Kelihatan ada lekuk di sebelah pipi kiri. Menambahkan manis orangnya. Dialah teman yang setiap hari tanpa pernah gagal menemani aku ketika perut minta diisi.

"Iyalah, buat research mestilah study jurnal. Lagi-lagi bidang virologi ini bukan aku study detail pun masa di universiti, banyak kena belajar lagi. Lagi sakit kepala bila semua dalam bahasa Inggeris. Aku ini bukan pandai sangat bahasa Inggeris", keluhku minta difahami.

Itulah hakikatnya. Apa yang dipelajari di universiti belum cukup memahirkan diri di alam pekerjaan. Walaupun asas ilmu yang diperolehi banyak membantu dari segi teori untuk memahami konsep, namun sebagai lepasan universiti yang baru terjun ke alam dunia penyelidikan sebenar, ternyata banyak lagi ilmu yang perlu digali.

"Kau pandang siapa? Aku membebel seoranglah tadi, huh". Sambil mendengus halus, aku menolehkan muka ke belakang dan sepantas kilat mataku tertangkap kepada kelibat seseorang.

Mataku terpacak pada batang tubuh tinggi lampai itu. Mataku mengekori setiap langkahnya. Dari pintu masuk utama, batang tubuh itu berjalan lurus menghala ke arah kaunter bayaran. Raut wajahnya dan penampilannya berbeza hari ini. Tidak seperti petang semalam.

"Glurpp". Jantungku berdenyut dan mengepam darah semakin laju. Kalaulah disuakan mikrofon, aku pasti seluruh kafetaria dapat mendengar bunyi 'dup-dap-dup-dap' yang bertalu-talu diruang rusuk atas kiri dada aku.

"Eh, macam dia tahu pula aku pandang dia, huh". Aku cepat-cepat memalingkan muka dan menghadap Siti semula, sekilas menjeling ke arah Siti kemudian merendahkan pandangan. Pantas aku capai botol air mineral di sudut pinggan nasi lalu disuakan ke bibir dan menyedut air putih di dalamnya perlahan-lahan.

"Aduh! Bertembung lagi hari ini". Getusku dalam diam . Petang semalam, dialah orangnya yang bertembung denganku di anak tangga pejabat. Hampir-hampir dilanggarnya badan aku yang kecil molek ini.

"Tapi hari ini jambangnya sudah tiada. Handsomekan kalau kemas begitu. Tetapi kenapa dia senyum-senyum, berjalan seorang diri pun boleh senyum-senyum. Hrmmm...pelik betul doktor seorang ini", bisikku kepada diri sendiri.

Aku mengangkat kepala memandang raut wajah Siti. Aku lihat ada garisan halus nipis di dahi Siti. Mungkin dia tertanya-tanya mengapa kelakuan aku seperti cacing kepanasan sebentar tadi. Aku mengharapkan Siti tidak dapat meneka perkara apa yang sedang berlegar-legar dan bersarang dalam fikiran aku.

Siti tidak bertanya lanjut, jadi aku pun mendiamkan diri. Maka dapatlah aku menghembuskan nafas lega dan bersandar di kerusi dengan tenang.

Hakikatnya kelegaan yang tertonjol adalah lakonan pada pandangan mata zahir.

"Kenapa dengan dia petang semalam?"

"Nampak dia gembira hari ini"

"Hurmm, kenapa aku kisah? Asalkan dia bahagia sudah ... ". Monolog itu berpanjangan. Rasa itu dibiarkan terpendam dan tersimpan di penjuru sudut hati. Akal menganalisis, menjustifikasi tetapi kemudian menafikan akan kewujudannya.

"Jom", tiba-tiba aku terdengar suara Siti. Aku faham dan akur. Kami bingkas bangun. Aku angkat sedikit dan letakkan kerusi ke bawah meja dan berpaling mengekori Siti.

Aku singgah di surau untuk menunaikan solat yang difardukan ke atasku sementara Siti meneruskan langkahnya ke makmal dan juga pejabat kami.


#PART3
#kisahdarihati
#menulisbiarsampaijadi
#sekolahpenulisanramadan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment