Buat kaum perempuan, ini sedikit nasihat yang boleh dijadikan panduan memilih pasangan hidup; jangan sampai salah pilihan. Perkahwinan itu ibadah seumur hidup, jika tersalah pilih, meranalah seumur hidup. Nasihat ini tidak terpakai kepada perempuan yang sejenis tak kisah atau mempunyai tahap kesabaran unlimited dan infiniti (tanpa batas).
Jangan Pilih Lelaki yang Hidupnya di Bawah Standardmu
1. Kalau kamu seorang perempuan yang setia, jangan pilih lelaki yang ramai kawan perempuan. Terlalu banyak kes curang, skandal, office wife, office husband zaman sekarang ini. Asalnya bermula dengan tidak menjaga batas pergaulan (ikhtilat) atas dasar hanya rakan sekerja, friendly, open-minded, sporting.
2. Kalau kamu sedang memperbaiki diri, janganlah pilih lelaki yang belum mahu berubah, atau menunda untuk berubah, kerana kamu akan terpaksa berjalan sendiri dalam memperbaiki diri, sementara dia masih seperti dulu.
3. Kalau kamu ada kerja, gaji dan pegang duit sendiri, janganlah kamu menerima lelaki yang malas bekerja, pendapatannya kurang daripada kamu atau suka berhutang/meminjam wang. Hal ini kerana dia akan menumpang duit kamu dan setiap perbelanjaan kamu terpaksa mendahulukan duit sendiri.
4. Kalau kamu seorang yang berpendidikan, janganlah memilih lelaki yang rendah tahap pendidikannya kerana ucapanmu akan direndahkan oleh pemikiran yang tidak berkembang.
5. Kalau kamu seorang yang berprinsip, misalnya meletakkan batasan dalam pergaulan iaitu tidak mudah mesra (friendly) dengan sebarang lelaki ajnabi (bukan mahram), jangan sesekali kamu ubah dirimu hanya semata-mata ingin diterima. Lebih baik hidup bersendirian daripada kamu menggadai prinsip yang kamu pegang sekian lama. Sudah semestinya, elakkan memilih lelaki yang hidupnya seperti lalang (sekejap begitu, sekejap begini) iaitu lelaki yang tiada prinsip yang jelas; sama ada dia tidak berani menegakkan prinsip hidupnya; atau prinsip hidupnya mengikut orang sekelilingnya kerana takut dianggap tidak sealiran atau takut dipinggirkan.
Pada hakikatnya, lelaki itu pemimpin dalam keluarga yang akan menjadi imam kepada pasangannya. Maka pilihlah lelaki Qawwam, insyaAllah akan hadir sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta kasih) dan warahmah (belas kasihan) dalam kehidupan berkeluarga.
Semua yang dinyatakan di atas ini dipanggil sekufu.
Justeru itu, kamu perlu naikkan standardmu agar bertemu dengan pasangan yang sekufu, setara, sepadan iaitu orang yang mempunyai nilai yang sama atau mindset yang sama seperti kamu.
Jangan turunkan standard dirimu kerana kekurangannya akan menjadi penyesalan buat kamu.
"Don't settle for less"
"Jangan tangkap muat"
Kepada Allah kita berdoa dan berserah.
Semoga kita semua sentiasa dalam lindunganNYA.
Sumber:
- https://www.mingguanwanita.my/fenomena-office-husband-dan-office-wife-di-tempat-kerja-buka-jalan-curang/
- Inisiatif Lelaki Qawwam - JAKIM
















































