Pages

15 Nov 2026

Nota Perempuan Jomblo [11]: Memaafkan Tetapi Tidak Melupakan | Forgive But Not Forget




Memaafkan (Al-'Afw) adalah keputusan bersifat emosi secara sedar dari hati untuk melepaskan rasa dendam, marah, benci dan tuntutan balasan hukuman di dunia supaya kita mendapat ketenangan jiwa dan kemuliaan sebagai Al-Muttaqqin (Surah Ali-Imran: 133–134).

Firman ALLAH SWT: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil." (Surah al-A'raf, ayat 199)

Dengan memaafkan, kita tidak lagi menyimpan dendam, tidak lagi mengungkit kesalahan lalu, berlapang dada dan tidak lagi menyalahkan sesiapa kerana telah menerima semuanya adalah takdir dan kehendak Allah. 

Walaupun kadang-kadang apabila teringat peristiwa sedih yang berlaku, kita rasa sedih dan menangis sendirian. Kita sangat berharap kita tidak lagi bertemu dengan orang-orang yang menyebabkan rasa sakit itu. Sebenarnya, apa yang kita rasakan itu adalah perkara yang sangat normal, manusiawi, sah dan valid dari segi psikologi. Menangis atau berasa sedih apabila teringat peristiwa lalu bukan bermakna kita belum memaafkan.

Memaafkan adalah keputusan hati untuk melepaskan marah, benci dan dendam; manakala kesedihan adalah proses semula jadi emosi kita untuk sembuh daripada luka. Memaafkan berlaku di dalam hati, tetapi parut daripada luka itu kadangkala masih boleh terasa pedih.

Manusia paling baik akhlaknya, Rasul Allah iaitu Nabi Muhammad SAW sendiri pernah memaafkan, namun memori atau kesan peristiwa tersebut tetap ada. Antaranya, baginda menerima keislaman Wahsyi (pembunuh bapa saudaranya, Saidina Hamzah), namun baginda meminta Wahsyi agar tidak menampakkan wajahnya di hadapan baginda kerana ia mengimbau kembali kenangan pahit kehilangan insan tersayang. 

Adakah kita tidak cukup ikhlas memaafkan kerana tidak melupakan?


Hakikatnya, bagi mereka yang mengatakan bahawa mereka telah memaafkan dan melupakan sebetulnya telah menipu diri sendiri.

"Melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja ALLAH SWT. ALLAH tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan. Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri pun masih ingat lagi apa yang Abu Jahal dan musuh-musuh Islam lain lakukan terhadap Baginda." (Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, Sinar Harian, 2024)

Secara psikologi kognitif, adalah mustahil kita boleh melupakan segala peristiwa yang terakam di minda kita sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk. Semua perkara sama ada baik atau buruk yang berlaku kepada kita akan kita ingati dan sukar untuk dilupakan. Apatah lagi jika sesuatu yang berlaku itu perkara buruk yang meninggalkan kesan dan impak emosi yang mendalam.

Semua yang berlaku sama ada baik atau buruk memberikan kita pelajaran, pengajaran dan pengalaman hidup yang mematangkan dan mendewasakan diri kita. Paling penting jadikan ia sebagai perlindungan diri (hikmah) agar diri kita tidak berulang kali dipatuk di lubang yang sama.

Sabda Rasulullah SAW: "Seorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." [Riwayat Al-Bukhari (no. 6133) dan Muslim (no. 2998)]

Bagi menikmati hidup yang lebih tenang, kita harus ‘mengunci’ peristiwa lama yang memberi kita rasa sakit dan sedih supaya ia tidak menghantui diri kita lagi. Syarat utama untuk ‘mengunci’ peristiwa sedih tersebut adalah dengan memastikan kita menjauhi segala trigger atau pencetus yang boleh mengaktifkan semula rasa sakit yang kita rasai.

Antara cara menjauhi trigger atau pencetus adalah jangan berkongsi hal peribadi kita terutamanya hal yang menyakitkan dengan sewenang-wenangnya dengan orang lain kerana ia boleh memunculkan semula peristiwa lama yang lukanya pasti akan berdarah kembali. (Prof Madya Dr. Huzili Hussin, Universiti Malaysia Perlis, 2020)

Saya boleh memaafkan tetapi tidak boleh melupakan?


Betullah tu...

Nabi ajar kita untuk jadi pemaaf, bukan pelupa.
Kita bukan robot yang boleh delete mana-mana memori yang kita tak nak.
Memori tu kena ada untuk kita jadi lebih dewasa.

Kesakitan itu perlu ada,
Untuk kita tak letak lagi harapan pada manusia.
Perit tu mesti kena ingat,
Untuk kita ni dah serik nak buat.

Allah tak pernah silap bila beri kesakitan.
Satu hari nanti kita akan berterima kasih,
Dengan semua kesakitan-kesakitan ini,
Kerana kita akan mula sedar,
Asbab dengan kesakitan-kesakitan inilah,
Kita mula jadi hamba,
Yang makin dekat dengan Allah.

Ini baru real.

(Izzhar Nazri, 2022)

~menjadi dewasa~


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

No comments:

Post a Comment