Pages

10 Nov 2026

Nota Perempuan Jomblo [10]: Wajah Yang Hilang, Namun Sesuatu Yang Bermakna Kekal Tersimpan


Dalam menjalani hidup ini, kita melalui pelbagai pengalaman hidup. Ada yang meninggalkan memori yang indah, ada yang langsung tidak memberi rasa tetapi hanya hambar dan tawar, malah banyak juga yang memberikan kita luka yang akhirnya menjadi parut yang kekal.

Misalnya, pengalaman saya sendiri;

35 tahun dulu, semasa dibangku sekolah, saya dipulaukan rakan-rakan seasrama yang juga merupakan rakan sekelas saya ketika tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Jika ia berlaku sekarang, saya adalah mangsa buli.

30 tahun dulu juga, saya difitnah rakan baik sendiri sehingga hubungan kami sebagai bestie (BFF) terputus terus. Selepas peristiwa itu, tiada lagi istilah BFF (Best Friend Forever) dalam kamus hidup saya.

Sekali lagi, 22 tahun dulu, pengalaman yang sangat menyakitkan sebagai seorang fresh graduate yang baru bekerja selepas tamat belajar di universiti, akibat termakan cerita fitnah, satu tempat kerja memulaukan saya sehingga saya terpaksa meletakkan jawatan (resign).

Dan banyak lagi peristiwa-peristiwa sedih yang berlaku yang pelakunya adalah orang-orang yang kita percayai dan rapat dengan diri kita.

Pada ketika kita menghadapi pengalaman yang menyakitkan itu, tetap ada manusia-manusia berhati baik dan bersih (pure heart) hadir disisi kita. Mereka hadir sebagai penyokong luar yang memberi moral support dan penyuntik semangat sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Malangnya ada dalam kalangan mereka yang berhati baik terpaksa kita abaikan dan tidak sempat kita hargai sebaiknya kerana pada ketika itu kita sedang berperang dengan diri sendiri. Pada ketika itu kita yang sedang menahan kesakitan sedang berada dalam survival mode supaya kita terus bertahan hidup.

Semasa kita berada dalam situasi sedih dan penuh tekanan, otak kita akan menyempit tumpuannya (tunnel vision) kerana otak kita hanya memberi fokus kepada punca emosi yang dirasai dan terpaksa mengabaikan butiran-butiran lain di sekeliling yang dianggap tidak penting untuk bertahan hidup. Maka disebabkan itu, butiran dalam bentuk memori visual (nama, wajah) kita lupakan.

Sudut pandang positifnya, kita mudah melupakan nama dan wajah orang yang menyakiti kita. Selepas beberapa lama tidak bertemu, dan selepas itu sekiranya kita bertemu semula dengan mereka-mereka yang menyakiti kita, mereka tidak lagi menjadi trigger kepada kesedihan yang kita alami bertahun-tahun dulu. Pada ketika itu kita sudah lupa siapa yang menyakiti kita dulu. Mungkin inilah cara Allah melindungi makhluk ciptaanNYA melalui cara otak kita bekerja. Otak kita di bahagian hippocampus dan korteks serebral akan memudarkan jalur nama dan jalur wajah mereka secara semula jadi kerana berlakunya penyusutan memori (decaying) seiring berjalannya waktu.

Namun sudut negatifnya, mungkin kita boleh menjadi trauma akibat tidak dapat melupakan rasa sedih yang dialami walaupun selepas bertahun-tahun berlalu. Otak kita di bahagian amyglada yang mengawal memori emosi kita begitu kuat bekerja ketika itu dengan merakam setiap perasaan yang kita alami dan menyimpannya sebagai memori jangka panjang.

Begitulah besarnya kesan disakiti dan impak rasa sedih yang dialami seseorang walaupun dia terlihat biasa-biasa sahaja secara luarannya. Tanpa kita ketahui, sekiranya tercetus trigger yang memunculkan rasa sedih, akan datang semula rasa sedih yang pernah dirasai dulu yang seolah-olah rasa sedih yang sama. Mungkin juga rasa sedih itu akan menjadi bertambah mendalam akibat luka bertindih (compound grief) disebabkan luka lama yang belum sembuh. Ketahuilah bahawa apabila memori terimbas semula, perkara yang paling melekat dan berjaya dibina semula adalah rasa sedihnya.

Begitu juga sebaliknya, walaupun nama dan wajah sudah dilupakan, namun sesuatu yang pernah dirasai yang memberi makna yang mendalam tetap kekal terpahat dalam memori yang sentiasa dikenang-kenangkan.

Maka, apa pilihan yang kita ada?

Memberi rasa sakit dan sedih?
Atau memberi rasa disayangi dan dihargai?

Pilihan saya sebagai orang yang disakiti adalah memberi kemaafan.
Kerana saya juga pendosa.


~Pendosa Tanpa Noktah~

Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks