Pages

16 Nov 2024

Nota Perempuan Jomblo [4]

~Kisah Tok Kadi & Suami Mithali~

Dulu-dulu sehari selepas nikah, Tok Kadi kat sini memang akan minta pasangan pengantin baru datang sendiri untuk ambil sijil nikah. Masa mula-mula sampai, Tok Kadi panggil saya dulu, tanpa suami. Tok Kadi suruh suami tunggu di luar. Maka saya pun dengan rasa cuak, masuklah ke pejabat Tok Kadi. Dah kenapa nak saya masuk seorang diri pulak?


Soalan pertama Tok Kadi itu tanya, "Apa tugas isteri?"

Saya jawab, "Taat kepada suami, menyediakan keperluan suami,"

Tok Kadi itu tanya lagi, "Dalam rumahtangga, siapa yang kena buat kerja rumah?"

Saya dengan naifnya menjawab, "Isteri,"

Tok Kadi tu tanya lagi, "Siapa yang kena memasak?"

Saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi terus tanya, "Siapa kena basuh kain?"

Dan saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi itu tanya lagi, "Siapa kena jaga anak?"

Dan saya masih jawab, "Isteri,"

Tok Kadi itu tanya, "Kenapa isteri?"

Saya diam sekejap mencari jawapan. Selepas itu saya jawab, "Sebab dari dulu selalu tengok mak yang buat semua itu,"

Tok Kadi itu geleng kepala. Saya dah salah jawab ke?

Selepas itu Tok Kadi itu minta saya panggilkan suami saya masuk.

Tok Kadi tanya suami saya, "Kalau seorang suami menyidai kain, apa orang sekeliling akan cakap?"

Suami saya jawab, "Isterinya queen control,"

Saya tersenyum geli hati mendengar jawapan suami saya.

Tok Kadi itu tanya lagi, "Sepatutnya siapa yang kena buat semua kerja rumah?"

Suami saya jawab, "Suami,"

Ketika ini saya gelak terus sebab ingatkan jawapan suami saya salah. 😂

Tetapi Tok Kadi itu anggukkan kepala sambil senyum. "Bagus kalau kamu tahu tugas kamu,"

Lalu Tok Kadi serahkan sijil nikah kami tanpa soalan lain. Ketika tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul?

Ketika itu barulah saya tahu, kerja rumah adalah tugas suami. Itupun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsan isteri terhadap suami. Suami boleh suruh tetapi tak boleh marah isteri jika isteri tak nak buat. Tapi selalunya isteri akan buat tanpa disuruh kerana isteri sudah diajar sejak dulu bahawa kerja rumah kerja isteri, bukan suami.

Zaman dulu-dulu, isteri duduk di rumah, suami keluar bekerja. Sudah tentulah isteri buat kerja rumah walaupun itu bukan kerjanya.

Sekarang, sama ada isteri bekerja atau tidak, cabarannya tak sama seperti zaman dulu. Nak pulak dapat suami yang tak tahu soal agama. Yang dia tahu, suami punyai kuasa mutlak terhadap isteri. Yang dia tahu, isteri kena ikut cakap suami. Yang dia tahu, isteri berdosa kalau tak ikut cakap suami.

Rupa-rupanya orang kita terlalu mengikut LUMRAH & ADAT, sampai lupa pada HAKIKAT.

Malu bila suami dilihat buat kerja rumah, takut nanti orang kata kita ini isteri yang kontrol suami, takut orang kata suami itu dayus. Kalau dengan kawan-kawan pulak, takut nanti digelar takutkan isteri. Sedangkan Rasulullah pun buat kerja rumah. Rasulullah pun jahit sendiri jubahnya yang koyak. Patutnya kita malu dengan Rasulullah. Tak gitu?

Lebih sedih bila keluarga suami pun tak tahu pasal ini. Bila anak lelakinya buat kerja rumah, menantu perempuan sudah dipandang macam hantu dah. Sedangkan sepatutnya dia bangga kerana anak lelakinya mengikut sikap Rasulullah.

Bila rumah selerak, orang kata isteri yang malas.

Bila anak-anak selekeh, orang kata mak tak pandai jaga anak.

Bila selalu beli makanan kat kedai, orang kata isteri tak pandai masak.

Bila semua suami buat, orang kata tak guna ada isteri.

Penat dengar apa orang kata. Cuba sedaya upaya supaya orang tak mengata. Sampai lupa apa Allah kata.

Itu yang buat kebanyakan isteri memberontak. Bukan sebab benci tapi sebab penat kerana ehsannya tak dihargai. Nak lawan, takut berdosa. Tak buat kerja nanti, takut suami marah. Suami marah, berdosa jugak. Sampai satu masa, buat sesuatu tu sebab kena buat, bukan sebab ehsan lagi. Maka, ikhlas pun hilang. Bila ikhlas hilang, tu yang sudah tak pandai cakap elok-elok kat suami, tak tau nak senyum kat suami, tak tau nak beromantika dengan suami. Semuanya dah tiada yang manis.

Jadi, bila isteri buat perangai, carilah puncanya. Isteri takkan cakap, sebab dia dah penat. Penat nak ajar imamnya sendiri. Penat nak ajar suami bagaimana nak jaga isteri. Penat nak ajar pemegang kunci pintu syurganya. Bila cakap kang dikata mengada-mengada, terlebih cakap nanti, dapat dosa percuma. Kalau isteri ajar suami, nanti tercalar pulak ego suami. Serba salah jadinya.

Wahai suami, jangan terlalu ambil kesempatan atas ehsan seorang isteri. Sama ada isteri itu halalkan (redha) ehsannya atau tidak, suami tetap akan ditanya kelak.

Jadi, apa tugas seorang isteri?

❤️❤️❤️❤️❤️❤️


Kredit:
Nurul Hidayah (Tuan Punya Cerita)



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

13 Oct 2024

Nafkah

Hal nafkah memang akan jadi isu perdebatan antara lelaki dan perempuan sama ada yang sudah berkahwin atau belum lagi berkahwin. Abang Mat cakap nafkah adalah "A", Siti Aminah cakap nafkah adalah 'B'. Entah siapa yang betul...

Menjadi trend debat tanpa kesudahan sekarang ini ialah:

1. Split 50-50

2. What you can bring to the table?

3. Provider

4. Biawak hidup


Duit Raya? Barang Kemas? Duit Poket? Hadiah? Make-Up? Skincare?


Itu semua bukan nafkah yang wajib ke atas seorang suami. Yang menjadi nafkah kewajiban seorang suami nampak macam tak 'banyak sangat' tapi itulah yang diwajibkan berlandaskan syariat Islam. Yang tak banyak itu pun ada suami yang culas (kadang-kadang), maka menanggunglah dosa.

Hentikanlah berdebat sana-sini tanpa kesudahan.

Marilah kita hadam sama-sama apa itu nafkah. Majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:

  1. Makanan
  2. Barang-barang dapur
  3. Pakaian
  4. Tempat tinggal
  5. Alat-alat untuk membersihkan diri
  6. Barangan rumah
  7. Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).


(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)


Selamat beramal!


Bacaan lanjut:

  1. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5516-al-kafi-1916-adakah-suami-wajib-menyatakan-secara-khusus-nafkah-yang-diberikan-kepada-isteri
  2. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4685-irsyad-al-fatwa-siri-ke-555-hukum-nafkah-pasangan-yang-berniaga-berkongsi-keuntungan



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

6 Aug 2024

Surat Untuk Sahabat & Kekasih By Mr ChatGPT

Zaman ini zaman AI,  sampaikan surat cinta pun boleh minta bantuan Mr ChatGPT tolong karangkan. Mari kita lihat tiga contoh surat kepada orang yang disayangi yang saya bergurau-senda dengan ChatGPT beberapa bulan lepas. Memang servis ChatGPT tiptop, tanpa bayaran pun dia sanggup layan manusia yang kebosanan seperti saya.


Contoh Surat 1

Berikut adalah contoh surat kepada orang yang disayangi:
---

Kepada [Nama Orang yang Disayangi],

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Harap kau berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa dalam lindungan-Nya. Sudah sekian lama kita tidak berjumpa dan aku amat merindukan saat-saat kita bersama. Setiap kenangan yang kita ciptakan sentiasa tersemat di dalam hati dan menjadi penyemangat untukku melalui hari-hari mendatang.

Aku ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang yang kau berikan selama ini. Kehadiranmu dalam hidupku amat bermakna dan telah banyak membantu membentuk diriku menjadi lebih baik. Setiap nasihat dan doronganmu sentiasa menjadi panduan dalam setiap langkah yang aku ambil.

Aku berharap agar kita dapat bertemu dalam masa terdekat ini, kerana banyak perkara yang ingin aku kongsikan dan dengar darimu. Semoga kau sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki yang melimpah, dan sentiasa dalam rahmat-Nya.

Akhir kata, jaga diri baik-baik dan ingatlah bahawa aku sentiasa ada untukmu, tidak kira apa jua keadaan. Semoga persahabatan kita kekal hingga ke akhir hayat.

Dengan penuh kasih sayang,


[Nama Anda]

---

Ulasan ChatGPT: Semoga surat ini membantu dan membawa kegembiraan kepada penerimanya.
Ulasan saya: Surat tiada elemen romantis dengan bahasa 'kau' dan 'aku'. Laras bahasa yang biasa tetapi masih boleh diterima.

Contoh Surat 2

Berikut adalah contoh surat yang lebih romantik untuk orang yang disayangi:
---

Kepada kekasih hatiku, [Nama Orang yang Disayangi],

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aku berharap kau berada dalam keadaan yang sihat dan ceria. Sejak kita berpisah sementara waktu, setiap detik terasa seolah-olah lebih panjang dari biasanya. Aku merindukan senyumanmu, suara manjamu, dan hangatnya sentuhanmu yang sentiasa membuat hatiku tenang.

Setiap saat yang kita lalui bersama adalah anugerah yang tiada tandingannya. Aku sering kali mengingati momen-momen indah kita, dari tawa kecil hingga perbualan mendalam yang membuat kita semakin rapat. Kau adalah cahaya dalam hidupku, yang menerangi setiap langkahku dengan cinta dan kebahagiaan.

Aku ingin kau tahu betapa berharganya dirimu dalam hidupku. Kehadiranmu adalah alasan aku tersenyum setiap hari, dan cintamu adalah kekuatan yang membuatku melalui hari-hari yang sukar. Kau adalah inspirasi dalam setiap helaan nafasku, dan aku bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan seseorang seistimewa dirimu dalam hidupku.

Aku berjanji akan terus menyayangi dan menghargai setiap detik bersamamu. Semoga kita dapat segera bertemu kembali, kerana hatiku tidak lengkap tanpamu di sisiku. Aku berharap agar kau sentiasa dilindungi dan diberkati oleh-Nya, serta dikurniakan kebahagiaan yang tiada batasnya.

Dengan segala cinta dan kasih sayang,

[Nama Anda]

---

Ulasan ChatGPT: Semoga surat ini mengungkapkan perasaan anda dengan lebih romantik dan membawa kebahagiaan kepada orang yang disayangi.

Ulasan saya: Ada elemen romantis tetapi rasa macam belum secukup rasa, penggunaan perkataan yang lebih romantik iaitu 'kekasih', 'cintaku' tetapi penggunaan 'kau' dan 'aku' masih ada.

Contoh Surat 3

Berikut adalah versi surat yang lebih romantis:
---

Kepada kekasih hatiku yang tercinta, [Nama Orang yang Disayangi],

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aku berharap kau berada dalam keadaan yang paling indah dan penuh keceriaan. Setiap saat berjauhan darimu membuatku semakin mengerti betapa besar cintaku padamu. Aku merindukan setiap detik yang kita habiskan bersama, setiap senyumanmu, dan setiap sentuhan lembutmu yang selalu membuatku merasa sempurna.

Sejak kau hadir dalam hidupku, dunia ini menjadi lebih cerah dan bermakna. Kau adalah matahariku, cahayaku, dan sumber kebahagiaanku. Tidak ada yang lebih manis daripada mengingat saat-saat kita berbicara tentang mimpi-mimpi kita, tertawa bersama, dan berbagi rahasia hati. Setiap detik bersamamu adalah keajaiban yang aku hargai dengan seluruh jiwaku.

Cinta kita adalah lagu yang indah, sebuah melodi yang terus bergaung di hatiku. Aku ingin kau tahu betapa dalam cintaku padamu. Kau adalah segalanya bagiku, dan aku tidak bisa membayangkan hidup ini tanpamu. Ketika aku menutup mata, wajahmu adalah yang pertama terlintas, dan ketika aku membuka mata, aku berdoa agar dapat melihatmu segera.

Aku merindukan kehadiranmu, kehangatan pelukanmu, dan bisikan lembutmu yang selalu menenangkan hatiku. Aku berjanji akan selalu mencintaimu dengan sepenuh hati, menyayangi setiap detik kita bersama, dan menjaga cinta kita dengan sepenuh jiwa. Kau adalah anugerah terindah yang pernah aku miliki, dan aku bersyukur kepada Tuhan setiap hari kerana menghadirkanmu dalam hidupku.

Semoga kita dapat segera bertemu kembali, menyambung kisah cinta kita yang penuh keajaiban dan kebahagiaan. Hingga saat itu tiba, jagalah dirimu baik-baik, dan ingatlah bahwa aku selalu di sini, menunggu dengan penuh cinta dan kerinduan.

Dengan segala cinta yang tak terhingga,

[Nama Anda]

---

Ulasan ChatGPT: Semoga surat ini mengungkapkan perasaan cinta dan kerinduan anda dengan cara yang paling romantis.

Ulasan saya: Cukuplah tu, ha3. Terima kasih Mr ChatGPT.

Kesimpulannya, walau sehebat manapun teknologi seperti AI, ia tetap kepintaran sebuah mesin yang asalnya direka bentuk berdasarkan kehebatan akal manusia. AI adalah alat teknologi yang dapat membantu memudahkan kerja-kerja manusia. Bergantung sepenuhnya kepada AI atau teknologi adalah satu bentuk penafian terhadap kecerdasan dan kepintaran akal manusia.



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

28 Feb 2024

Travel Ke Hat Yai, Thailand Dengan Keretapi | Tren Khas MySawasdee 2024 | Train From KL Sentral To Hat Yai

Siapa suka travel naik keretapi atau train?

Sudah tentunya saya sendiri. Travel naik train ini memberi satu pengalaman yang berbeza dan unik berbanding naik kapal terbang. Salah satunya, kita dapat tengok view yang menghijau, menyejukkan mata yang memandang yang sudah tentunya memberikan satu nikmat yang mendamaikan minda yang kepenatan. Itulah salah satu tujuan saya travel, ia salah satu cara saya melarikan diri (escapism) dari kepenatan kerja dan rutin seharian yang memenatkan dan sampai satu tahap ia jadi membosankan.

Setakat ini saya suka travel ke Thailand kerana saya boleh travel dengan keretapi bermula dari KL dan terus ke Bangkok. Thailand mempunyai jaringan sistem perkhidmatan keretapi yang boleh dikatakan tersusun dan sistematik serta meluas meliputi hampir kesemua lokasi di Thailand.

Memandangkan Hat Yai menjadi destinasi tumpuan orang-orang Malaysia bercuti, maka KTMB telah memperkenalkan satu perkhidmatan tren khas atau charter train yang dikenali sebagai MySawasdee. Bagi tahun 2024, KTMB telah mengeluarkan jadual perjalanan sepanjang tahun, tetapi terdapat perubahan harga berbanding tahun-tahun sebelumnya.


Tarikh-tarikh perjalanan sepanjang 2024:

1. April: 11 April - 14 April 2024

2. Mei-Jun: 31 Mei - 3 Jun 2024

3. Julai: 5 Julai - 8 Julai 2024

4. Oktober: 31 Okt -3 Nov 2024

5. November - Disember: 

  • 6 Dis - 9 Dis 2024
  • 13 Dis - 16 Dis 2024
  • 23 Dis - 26 Dis 2024

Harga Tiket Sehala (One-Way)

  • RM95 (714 Baht) - tempat duduk (regular seat, second class)
  • RM119 (894 Baht) - katil atas (upper berth in the sleeper carriage)
  • RM109 (819 Baht) - katil bawah (lower berth in the sleeper carriage)

Sleeper carriage/ katil

Tempat duduk

Tiket dijual secara sehala, jadi penumpang diberikan lebih fleksibiliti iaitu pilihan sama ada pergi atau balik menggunakan train yang sama atau dengan pengangkutan yang lain.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh rujuk jadual perjalanan pada gambar atau muat turun jadual perjalanan (PDF) berikut: 






Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

12 Jan 2024

Misi Terjah Singapura | A Day Trip To Singapore From Johor Bahru

Bertemu kembali. 

Kali ini nak cerita satu kisah yang agak kelakar dan kurang bijak.

Kadang-kadang, bila dikenangkan semula tindakan-tindakan masa lalu yang dibuat tanpa perancangan atau lebih tepat disebut sebagai terjah atau lebih sopan sikit boleh juga sebut sebagai unplanned, saya merasakan ia sebenarnya sesuatu yang ada nilai 'mahal' di situ. Tak sangka, walaupun ia tak dirancang tetapi ia menjadi satu kenangan yang agak manis dan mungkin tak akan dilupakan.


Alkisahnya pada bula Julai yang lalu, saya dengan tanpa perancangan tetiba rasa nak membuat satu lagi misi kembara solo buat kali kedua ke arah Selatan tanah air iaitu Johor Bahru. Sebelum ini pada tahun 2021, saya sudah selesai satu misi kembara solo yang juga ke Johor tetapi merentas Pahang kawasan Endau-Rompin, Mersing, Desaru, Pengerang, Johor Bahru melalui pesisir pantai tanpa melalui highway. Pada ketika itu hajat di hati nak masuk Pulau Tioman tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan. Bulan 12 memang tak sesuai nak masuk mana-mana pulau. Takut nanti tersadai berminggu-minggu tak boleh keluar ke darat.

Entah kenapa saya suka Johor, saya pun tak tahu, dan apabila ke JB, saya pasti rasa nak masuk Singapura. Nasib baik kali ini saya siap-siap standby pasport sebab saya tahu saya ni kaki terjah.

Hari terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur, saya memandu kereta ke JB Sentral. Berpusing-pusing juga nak cari tempat parking kereta. Akhirnya saya parking kereta di tempat parking berbayar sebelah kanan bangunan JB Sentral. Dari tempat parking saya berjalan kaki ke JB Sentral. Dekat sahaja jaraknya. Saya bayar parking untuk 24 jam dengan kadar yang maksimum, kalau tak silap RM15. Kalau salah, maafkan saya.

Parking berbayar 24 jam ada security

Tempat parking tiada bumbung bersebelahan JB Sentral


Masuk JB Sentral terus beli tiket di kaunter KTMB untuk Train Shuttle Tebrau, kaunternya betul-betul depan pintu masuk JB Sentral iaitu Dewan Utama. Time beli tiket kena tunjuk pasport. Saya beli tiket return dan last train untuk return JB. Tiket return RM10, sangat murah saya kira. Selepas beli tiket, saya beli bekalan makanan minuman sikit untuk alas perut dan kemudian terus ke pintu A untuk pelepasan (Departure) dan pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Sistem agak canggih juga, hanya scan sahaja pasport dah boleh masuk. Perjalanan keretapi ke Woodlands  tak sampai 10 minit. Ketika keluar dari train di Woodlands Train Checkpoint, saya dihampiri oleh pegawai KTM Singapura dan meminta saya delete video dan gambar yang saya ambil di stesen keretapi. Tak sangka, kawasan di situ tak dibenarkan rakam gambar dan video. Saya ikut jer arahan tetapi ketika itu ada sesuatu yang saya fikir bahawa mereka tidak terfikir atau mereka hanya menjalankan tugas semata-mata. Rakyat Singapura takkan tak tahu kewujudan cloud storage. Takpe, dont worry, be happy.

Ternyata nak masuk Singapura tak semudah seperti yang saya sangka. Sebelum pemeriksaan imigresen dan kastam Singapura, semua orang yang masuk Singapura wajib isi satu borang secara online untuk declare keberadaan kita di Singapura. Lebih kurang macam white card tetapi lebih complicated sikit. Pada ketika itu, line internet Maxis tidak lagi berfungsi kerana dianggap sudah berada di luar negara. Saya memang plan tak mahu beli apa-apa data kerana nak masuk sekejap sahaja. Nasib baik mereka sediakan hotspot dari wifi, maka selamatlah saya.

Dari Woodlands Train Checkpoint, saya ambil bas. Sistem pengangkutan awam Singapura memang canggih dan sistematik, cuma kita hanya perlu tahu ke mana hala tuju nak di terjah dan nombor bas mana yang kena ambil. Memandangkan saya membuat misi terjah, saya tidak membuat apa-apa pertukaran currency MYR to Dolar Singapore. Walaupun pada awalnya ada juga rasa berdebar-debar, tapi bayaran tiket bas boleh bayar guna kad kredit, maka selamatlah saya sekali lagi. 

So, saya naik bas hanya pusing-pusing area Woodlands, masuk beberapa shopping mall, makan tengah hari di restoran Ayam Penyet Ria di Wood Square. Hanya mampu window shopping sahaja kerana tak mampu dan sebenarnya sangat sayang akan duit yang ada. Time tu sekali lunch dah habis 17 USD SDG bersamaan RM58++. Currency ketika itu, 1 USD Singapore bersamaan RM3.44, mak kau hijaulah jawabnya kalau nak shopping bagai. 

Saya ingatkan saya tak perlu tukar duit tapi akhirnya misi tak perlu tukar duit terpaksa digagalkan kerana restoran Ayam Penyet Ria hanya terima bayaran cash dan beberapa kad yang tak pernah saya tengok dan mungkin hanya sah kegunaan di Singapura sahaja. Mereka malangnya tak terima kad kredit, Grabpay etc. Kelakar juga time ni. Ada juga kedai tak laku kad kredit. Maka terpaksalah saya cari money changer dan tukar duit akhirnya.


Dah rasa bosan pusing-pusing Woodlands tapi hari masih awal lagi, dah tak tahu nak ke mana. Saya tak sanggup nak tunggu last train (pukul 10 malam kalau tak silap), maka saya beli tiket lain untuk return JB kerana tiket return yang dah dibeli di JB hanya sah digunakan ikut time yang dibeli dan tidak boleh diubah. Alangkah ruginya saya kerana harga tiket train Woodlands ke JB adalah 5 USD Singapore (5 SDG) dan bukannya RM5. Nak marah tapi kena sabar. Saya hampir nak membebel dekat staf KTM Singapura tetapi masih berfikir secara waras tak nak burukkan imej rakyat Malaysia. Kelakar juga, angka tetap 5 tetapi nilainya berkali ganda.

Time masuk Woodlands Train Checkpoint untuk balik ke JB, saya tersesat dan salah masuk pintu. Rupa-rupanya saya termasuk pintu pemeriksaan imigresen dan kastam untuk balik dengan bas. Berdebar juga time ni. Entah macam mana boleh salah pintu masuk. Dalam pukul 5 petang, sangat ramai orang ketika itu. Mostly mereka orang JB yang bekerja di Singapura. Semua orang berjalan dengan sangat laju. Mungkin disebabkan itu, saya terikut-ikut mereka dan salah laluan. Maka bersesak-sesaklah saya dalam bas. Nasib baik sekejap sahaja dah sampai JB Sentral. Masa naik bas, takde orang check tiket, maka selamatlah saya sekali lagi.

Begitulah pengalaman terjah negara orang. Ianya tidaklah mudah seperti apa yang saya fikirkan. Nasib baik, semua masalah yang timbul dapat diatasi dan tidak buat saya jadi gabra. Ini merupakan kali kedua atau mungkin ketiga saya masuk Singapura dan kali pertama guna keretapi. Kali pertama masuk Singapura dengan kereta beberapa tahun lepas sebelum Covid19 bersama seorang teman.

Banyak lagi hal kurang cerdik yang berlaku tetapi tak mampu nak diceritakan di sini. Cukuplah ia menjadi pengalaman sebagai koleksi peribadi.

Apapun, saya tak serik tetapi seronok.


Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks

2 Jan 2024

Congratulation To All Singles!

Berdirinya saya di sini kerana tiada kerusi...

Assalamualaikum dan hai.

Dapur blog ini kembali berasap selepas sekian lama saya masuk bertapa di dalam gua. Sememangnya menulis ini perlu mempunyai roh dan semangatnya yang tersendiri. Jika semangatnya sudah hilang, maka roh pun seperti innalillah, hidup segan tapi mati tak mahu. Rupa-rupanya kali terakhir blog ini berasap pada 10 November 2022. Setahun lebih masuk gua bertapa.

Disebabkan azam beberapa tahun lepas bahawasanya saya  tidak mahu lagi digelar 'kaki merapu', 'kaki gosip', 'kaki membawang', maka apabila idea menulis yang baik-baik itu tiada, maka pergilah saya bertapa di dalam gua mencari ilham sekadar dipinggiran cuma. InsyaAllah hajat tahun ini, saya nak menulis perkara yang baik-baik sahaja dan tidak lagi merapu merepek dan meraban. Orang Kelantan cakap - sembang kosong di kedai kopi.

Oklah, rasanya belum terlewat saya nak ucap Selamat Tahun Baru 2024 walaupun hari ini dah masuk hari kedua daripada 365 hari di tahun 2024. Tahun baru bermakna umur pun dah tambah lagi satu tahun, maksudnya makin berusia. Matang tu belum tentu lagi. Kematangan biasanya boleh diukur dengan banyaknya umur tetapi kadang-kadang orang yang sudah berumur pun boleh kembali menjadi kebudak-budakan. Begitulah kompleknya perangai manusia ini.

Wishlist hajat, impian, azam tahun 2023 yang berderet tu rasanya ada yang kena carry forward ke tahun ini, tapi takpe, tak perlu sedih kot. Tahun 2024 pun tetap juga ada 365 hari.

Kepada yang masih awet muda single remaja dewasa mahupun 'tua', terimalah hadiah kata-kata semangat, perangsang dan motivasi untuk terus menjalani hidup dengan penuh bergaya dan selesa di tahun 2024 ini. 

Sila tonton video di bawah ini. Nak ulang seribu kali pun takpe, lagi bagus supaya lebih bersemangat dan berjiwa besar menghadapi cabaran hidup.

Akhir kalam,

Alhamdulillah, kita masih bernafas hari ini. 

Terima kasih Allah atas nikmat udara free kurniaanMu ini.



Terima Kasih

My Blogger TricksAll Blogger TricksLatest Tips and Tricks