PUM sedia bantu dalam isu akidah
Dr Mohd Roslan Mohd Nor
Persatuan
Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam
sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu
keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.
Ini
adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubung kait dengan akidah
umat Islam. Akidah adalah komponen teras dalam agama Islam.
PUM
berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan
perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk
dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran
Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12
April 2005.
Salinan Garis Panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.
Dalam
garis panduan tersebut, antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa
dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh
orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan
supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Antara
kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak
disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.
Sehubungan
itu, berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas
jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual
keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut
kerana boleh menjejaskan aqidah Islam.
PUM juga amat
mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa
agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi
agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan
pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan
persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu
ini.
Dalam pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang
beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli
agama tersebut. Para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah
amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip
teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam. Pendirian teras ini
adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam.
Semua
pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam
adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama
Islam khususnya melibatkan akidah serta syariat Islam. Para pemimpin
dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat
dan pandangan para ulama dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang
diletakkan dalam prinsip maqasid syariah.
PUM
berpandangan isu ini adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar
segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama
orang bukan Islam.
PUM ingin mencadangkan kepada
Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada
para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar ini.
Oleh
yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan Jakim, Majlis dan
Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi
untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini.
Dr Mohd Roslan Mohd Nor menyandang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Ulama.